PUTRAJAYA: Bekas anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara, menarik balik rayuannya
dalam usaha untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat dari 9 Mac hingga 9
April tahun ini.
Peguam mewakili Anwar, Latheefa Koya memaklumkan panel tiga anggota
Mahkamah Rayuan hari ini berhubung penarikan balik rayuan itu.
Peguam M. Kogilambigai yang mewakili dua responden iaitu Menteri Dalam
Negeri dan Ketua Pesuruhjaya Penjara, tidak membantah permohonan itu.
Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan panel itu kemudiannya membatalkan rayuan itu.
Turut bersidang ialah Hakim Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.
Anwar, 68, memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di
Mahkamah Tinggi bagi membatalkan keputusan Ketua Pesuruhjaya Penjara
tidak membenarkannya menghadiri mesyuarat pertama sesi ketiga sidang
ke-13 Dewan Rakyat.
Pada 1 April tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad
menolak permohonannya bagi kebenaran semakan kehakiman itu. Anwar
kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.
Dalam afidavit sokongannya, Anwar mendakwa beliau masih merupakan
anggota Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang kerana petisyen bagi
pengampunan diraja dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong masih belum
diputuskan.
Pada 16 Mac, Lembaga Pengampunan menolak petisyennya bagi pengampunan
terhadap sabitan meliwat dan beliau kini menjalani hukuman penjara lima
tahun di Penjara Sungai Buloh.
Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun ini, mengekalkan tempoh hukuman
penjara Anwar bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful
Bukhari Azlan pada 2008. Anwar memfailkan semakan berhubung keputusan
Mahkamah Persekutuan itu dan ia masih tertangguh.
Sementara itu, permohonan Anwar bagi mendapatkan kebenaran untuk
memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan
menolak petisyennya bagi pengampunan masih menunggu pendengaran di
Mahkamah Tinggi.
Di luar mahkamah, Latheefa memberitahu pemberita, pihaknya memutuskan
untuk menarik balik rayuan itu kerana perkara itu kini bersifat akademik
kerana sidang Dewan Rakyat itu sudah berakhir.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan