KOTA BHARU: Sebagai anak kepada pemimpin utama parti, Mohammad Khalil
Abdul Hadi meminta semua pihak yang berada di dalam atau di luar PAS
bijak dalam menilai dan menangani sesuatu keadaan.
Khalil berkata secara fitrahnya manusia tidak selesa dengan perasaan
yang negatif, dan situasi itulah yang terpaksa beliau hadapi apabila
bapanya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dicemuh atau dikritik sama ada dari
pihak kawan atau lawan.
"Sudah tentu sebagai seorang manusia fitrahnya kita tidak suka apabila ada yang menuduh, mencemuh dan berkata macam-macam.
"Tetapi apabila dididik dengan Islam, baca kisah nabi-nabi dan lihat
mereka lalui ujian lebih dasyat daripada kita. Pentingnya kita nilai
dengan betul dan istiqamah dengan perjuangan," katanya.
Ditemui dalam satu wawancara khas bersama Antarapos, Khalil menambah,
beliau bagaimanapun sudah bersedia dengan jatuh bangun dalam politik,
apatah lagi perjuangan Islam yang dibawa PAS sendiri tidak disenangi
oleh sesetengah pihak.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu berkata
adalah penting untuk ahli-ahli parti bersatu hati dan sentiasa berpegang
kepada amalan Islam.
Malah sikap Hadi yang tenang dalam menghadapi tentangan daripada DAP
suatu ketika dahulu perlu dijadikan iktibar ahli-ahli parti sebagai
salah satu strategi dalam berpolitik.
"Apabila kita terlibat dengan politik, kena kena bersedia untuk
dikritik, difitnah, diperlakukan dengan hal yang tidak elok. Itu asas
dalam politik, khususnya dalam politik hari ini yang jauh dari
nilai-nilai akhlak dan moral yang diajar oleh Islam.
"Sudah tentu kita tidak mahu hal itu berlaku. Namun penting adalah
bagaimana kita menilai dan rakyat sendiri menilainya. Bukan sekadar
mendengar dan membaca, namun menilai sikap yang diambil oleh Presiden
PAS dalam menangani tohmahan dan fitnah yang dilemparkan," tegasnya
lagi.
Hadi sebelum ini dikecam hebat oleh DAP lantaran pendirian tegasnya untuk melaksanakan hukuman hudud di Kelantan.
Ia tidak disenangi oleh DAP, yang ketika itu merupakan sekutu PAS di
dalam Pakatan Rakyat (PR), sehingga mengambil keputusan memutuskan
kerjasama bersama parti itu dan membawa kepada berakhirnya kerjasama
gabungan parti-parti pembangkang.
Malah, kekalahan kumpulan progresif PAS di dalam pemilihan parti Jun
lalu menjadi kemuncak kepada pertembungan pihak profesional dan ulama
yang kemudiannya menyaksikan tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah).
Amanah yang dipimpin bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tidak
henti-henti menyerang kepimpinan PAS yang dikatakan sudah tidak relevan
dengan perkembangan politik semasa negara.
Pemimpin parti itu yang sebelum ini diketahui mesra-DAP akhirnya
menyertai Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP, meninggalkan PAS yang
berjuang bersendirian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan