KUALA LUMPUR, Penahanan semula Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan setelah dibebaskan daripada tahanan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dilihat sebagai suatu tindakan berniat jahat yang menjejaskan demokrasi berparlimen.


Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berkata, tidak ada sebarang undang-undang di Malaysia yang mengharamkan rakyat Malaysia daripada memanfaatkan sistem undang-undang di mana-mana negara lain di dunia.

Jelas Bersih 2.0, Khairuddin tidak bersalah dan tidak melakukan sabotaj dengan mengemukakan laporan mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke sistem perundangan negara lain.

“Sabotaj hanya berlaku apabila rakyat seperti Khairuddin dilarang mempersoalkan kebolehpercayaan Perdana Menteri dan Parlimen dihalang membuat keputusan mengenainya.

“Bersih 2.0 menyeru pihak berkuasa membebaskan Khairuddin tanpa syarat dan menghentikan semua tindakan yang boleh membawa sabotaj kepada demokrasi berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu ditahan semula selepas ditahan di rumahnya di Mont Kiara, Jumaat lalu, beberapa jam selepas mendapat tahu beliau dilarang meninggalkan negara ini.

Beliau ditahan reman selama enam hari, untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan sebelum ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang lebih dikenali sebagai Sosma.

Tambah Bersih 2.0, pihaknya mengulangi cabaran yang dibuat oleh Pengerusinya, Maria Chin Abdullah pada 19 Ogos supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan usul undi percaya di Parlimen.

Jelasnya, sekiranya usul itu diluluskan, maka Najib akan mempunyai keabsahan untuk terus berkuasa dan berharap Najib akan cukup berani untuk menghormati demokrasi berparlimen dan bukan menganiayai para pengkritik seperti Khairuddin.