Rabu, 23 September 2015

Pemimpin Amanah tak amanah? soal Fuad

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


SHAH ALAM: Amanah yang diangkat sebagai wadah perjuangan politik baru bagi bekas kumpulan progresif PAS ternyata gagal menampilkan sikap yang selari dengan maksudnya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata sekiranya benar kesemua pemimpin parti berkenaan bersikap amanah, sudah tentunya mereka bertindak mengosongkan kerusi yang dimenangi ketika bersama PAS dalam pilihan raya lalu.

"Soal saya, amanahkah mereka yang menang atas tiket PAS kemudian bawa lari kerusi PAS dan menyatakan mereka sebagai wakil rakyat Amanah?

"Apakah itu amanah? Masyarakat kena menilai sifat ini. Jika mereka sanggup buat begitu terhadap PAS, apakah jaminan mereka tidak lakukan hal yang sama terhadap Amanah nanti?

"Mereka akan buat hal sama terhadap Amanah sebab mereka dah tunjukkan sikap ini di dalam PAS," katanya ketika ditemui Antarapos, baru-baru ini.

Sebelum ini gesaan demi gesaan disuarakan oleh pemimpin PAS terhadap bekas wakil rakyatnya yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Sebagaimana yang diperkatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tindakan itu perlu diambil selepas kesemua mereka melanggar sumpah bai'ah yang dibuat ketika di dalam PAS.

Fuad dalam masa sama menyokong tindakan PAS menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan Amanah kerana tidak mustahil parti baru itu akan mengulangi kesilapan yang sama kelak.

"Jika PAS mahu bekerjasama dengan Amanah, bermakna PAS mungkin perlu menyerahkan beberapa kerusi kepada Amanah yang ada wakil rakyatnya bawa lari, sedangkan kemenangan mereka atas nama PAS.

"Tidak beri peluang kepada Amanah. Sebab mereka sudah memilih jalan sendiri, dan teruskan. Kita tidak perlu ganggu mereka," tegasnya lagi.

PAS hari ini mengesahkan untuk tidak menyertai Pakatan Rakyat 2.0 dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Amanah yang dianggap sebagai 'pengkhianat',

Ketetapan yang serupa diambil terhadap DAP sebagaimana yang dinyatakan di dalam muktamar PAS Jun lalu.

PAS juga tidak menghantar wakil pimpinannya ke Persidangan Meja Bulat Ke Arah Pembentukan Pakatan Rakyat 2.0 yang berlangsung hari ini dengan menegaskan tiada keperluan untuk parti-parti pembangkang membentuk satu lagi gabungan yang baru memandangkan kerjasama politik itu sudah terjalin sekian lama.


Tiada ulasan: