Rabu, 23 September 2015

Anwar calon PM melucukan – Penganalisis politik

Anwar Ibrahim perlu menunggu lima tahun sebelum layak bertanding semula dalam pilihan raya. 


Anwar-Ibrahim2_600


PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik ‘mempersendakan’ keputusan Pakatan Harapan yang masih mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibahim sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang yang baharu ditubuhkan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).

Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, keputusan Pakatan Harapan itu sangat melucukan kerana Anwar hanya bebas daripada hukuman penjara lima kerana kesalahan meliwat pada 2020 sedangkan PRU14 selewat-lewatnya 2018.

“Adakah mereka akan membebaskan Anwar dari penjara sekiranya berkuasa?. Tetapi harus diingat Anwar perlu menunggu lima tahun lagi untuk layak bertanding pada pilihan raya,” katanya kepada FMT.

Pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, isu yang perlu diambil kira juga adakah rakyat Malaysia bersedia untuk menerima pemimpin nombor satu negara yang mempunyai rekod bekas banduan.

Katanya, walaupun pakatan pembangkang menukar nama baharu kepada Pakatan Harapan namun mentaliti masih tidak berubah iaitu mengharapkan pengaruh Anwar untuk meraih sokongan rakyat.

“Ternyata mereka tidak mempunyai calon lain dan masih mengharapkan pengaruh Anwar. Gerakan reformasi yang sudah berlangsung sejak 1998 sewajarnya memikirkan calon alternatif.

“Sudah tiba masanya Pakatan Harapan mengenengahkan pemimpin baharu bukannya pemimpin kitar semula.

“Ini juga bermakna DAP Harapan mengakui hakikat kepimpinan Melayu tetapi hanya terbatas dengan faktor Anwar sahaja,” katanya.

Mohd Izani berkata, walaupun baharu satu hari ditubuhkan, Pakatan Harapan sudah menunjukkan kepada rakyat bahawa penubuhannya hanya bertujuan memanjang hayat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Tiada ulasan: