KAJANG: PAS Selangor masih lagi belum membuat ketetapan untuk menyertai
Pakatan Rakyat 2.0 walaupun dipelawa bagi memperkukuhkan gabungan baru
pakatan pembangkang.
Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Samad berkata, setakat ini PAS negeri
hanya mengambil maklum arahan daripada pihak berautoriti sahaja.
"Sekarang ini ada banyak spekulasi, kita pun sudah dengar banyak
kenyataan daripada Datuk Menteri Besar, Presiden PKR pun sudah buat
pengumuman, Ketua Umum PKR pun sudah buat pengumuman-pengumuman.
"Tetapi saya hanya ambil pengumuman yang ada autoriti contohnya Datuk
Menteri Besar selaku ketua pentadbiran Selangor," katanya kepada
pemberita dalam satu sidang akhbar di Majlis Pelancaran Program Jejak
Wira, di sini.
Beliau mengulas mengenai sama ada PAS sudah bersedia untuk bergabung
dengan Pakatan Rakyat 2.0 tambahan pakatan baru itu akan mula beraksi
pada sesi Parlimen yang akan diadakan pada bulan Oktober ini.
PKR sebelum ini menegaskan akan mengadakan perbincangan dengan PAS
untuk membawa masuk parti itu dalam pakatan pembangkang bersama Parti
Amanah Negara (Amanah) dan DAP meskipun cadangan itu ditolak oleh DAP.
Walaubagaimanapun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi membayangkan
parti itu tidak menolak kemungkinan akan bergerak sendiri berdasarkan
senario dalaman semasa.
Dalam pada itu, Iskandar menegaskan hubungan PAS Selangor dengan rakan
komponennya DAP dan PKR di Selangor masih berjalan seperti biasa.
Beliau bagaimanapun menegaskan hubungan kerjasama itu hanya berdasarkan atas urusan kerajaan negeri sahaja.
"Kita tetap bersama dengan Pakatan Rakyat dan kerjasama masih berjalan
di negeri Selangor di antara PKR dengan PAS dan juga DAP. Tadi pun kita
ada mesyuarat Exco, dan ia berjalan seperti biasa.
"Ingin saya tegaskan di sini, dari segi kerajaan, PAS atau pun PAS
Pusat telah pun megarahkan kepada PAS Selangor bahawa hubungan di antara
kerajaan diteruskan, bermakna kita dengan DAP dalam kerajaan contohnya
dalam Exco, dalam ADUN, ahli Majlis atau pun semua peringkat termasuk
ketua kampung, melibatkan kerajaan, semuanya berjalan seperti biasa.
Cuma dalam kerjasama politik sahaja yang putus," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan