SHAH ALAM: PAS akan mengadakan perbincangan di peringkat parti terlebih
dahulu berhubung hasrat PKR yang mahu membawa masuk parti itu di dalam
pakatan pembangkang baharu bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata, keputusan berhubung perkara
itu hanya akan diputuskan melalui mesyuarat parti kerana ia membabitkan
soal polisi.
"Pertamanya, ini membabitkan polisi dan saya tak boleh beri komen
(sendirian). Nanti kita akan putuskan di dalam mesyuarat dahulu, kita
akan bincang," katanya kepada Antarapos.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam memaklumkan
akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS dan DAP bagi membincangkan
perkara berkenaan dalam jangka masa terdekat.
Azizah semalam juga terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan
pimpinan parti serpihan PAS, iaitu Parti Amanah Negara bagi
membincangkan hala tuju dan prinsip kedua-dua pihak.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam masa yang sama menekankan
perlunya pembangkang yang kuat dan bersatu padu untuk mencabar Barisan
Nasional dalam isu-isu semasa dan dalam pilihan raya umum yang akan
datang.
Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sebelum ini menegaskan parti
itu mahu PAS turut serta dalam pakatan pembangkang baru meskipun DAP
tidak bersetuju.
Azmin berkata sebagai parti bersifat inklusif, pihaknya menerima PAS
sebagai sebuah parti yang mampu memperkukuhkan barisan pembangkang untuk
menghadapi pilihan raya umum ke 14.
Dalam pada itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang ketika
ditanya mengenai kesediaan Amanah untuk bersama PAS dalam gabungan
pembangkang baharu, enggan mengulas lanjut.
"Ini pun melibatkan polisi. Nanti dah rasmi (ada keputusan) kita akan beritahu," ujarnya ringkas.
Beberapa pemimpin Amanah yang dipetik sebuah portal berita dilaporkan
menyatakan kesediaan untuk bersama PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 bagi
tujuan menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, mereka akur sekiranya PAS lebih selesa bergerak
sendirian, merujuk kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang yang mengatakan parti Islam itu ada kekuatan sendiri dan tidak
akan bergabung dengan Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan