SHAH ALAM: DAP meminta Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memberi
penjelasan kepada penyokong pembangkang berhubung pendirian parti itu
yang masih mahu meneruskan kerjasama bersama PAS, dalam Pakatan Rakyat
2.0 yang akan dibentuk kelak.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun Azmin dan PKR
mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian, namun para penyokong
mereka harus diberikan penjelasan apatah lagi dakwanya PAS yang
bertindak memutuskan hubungan dengan DAP sebelum ini.
"Azmin mempunyai sebabnya sendiri, tetapi walau apa pun sebabnya,
beliau perlu menjelaskan kepada penyokong mengapa membuat keputusan
untuk meneruskan kerjasama dengan PAS," kata Lim pada satu sidang media
di pejabatnya di Pulau Pinang hari ini.
"DAP tidak akan bekerjasama dengan PAS kerana mereka sudah putuskan
hubungan dengan DAP. Selepas itu, mereka juga berkata akan bertanding di
kawasan yang dipegang DAP," katan Guan Eng yang dipetik sebuah portal.
Azmin sebelum ini menegaskan parti itu mahu PAS turut serta dalam pakatan pembangkang baru meskipun DAP tidak bersetuju.
Azmin berkata sebagai parti bersifat inklusif, pihaknya menerima PAS
sebagai sebuah parti yang mampu memperkukuhkan barisan pembangkang untuk
menghadapi pilihan raya umum ke 14.
Sementara itu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam
memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS dan DAP bagi
membincangkan hasrat mereka yang mahu membawa masuk parti Islam itu di
dalam pakatan pembangkang baharu bersama Parti Amanah Negara (Amanah)
dan DAP.
Azizah semalam juga terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan
pimpinan parti serpihan PAS, iaitu Parti Amanah Negara bagi
membincangkan hala tuju dan prinsip kedua-dua pihak.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam masa yang sama menekankan
perlunya pembangkang yang kuat dan bersatu padu untuk mencabar Barisan
Nasional dalam isu-isu semasa dan dalam pilihan raya umum yang akan
datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan