Rabu, 9 September 2015

1,000 ahli Umno Sri Gading dijangka sertai himpunan baju merah

Shakira Buang


 


Umno Bahagian Sri Gading menjangka menghantar kira-kira 1,000 ahlinya untuk menyertai Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September ini.

Ketuanya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata penyertaan itu adalah bagi menunjukkan sokongan padu rakyat kepada kerajaan dan tindak balas bagi insiden peserta BERSIH 4 memijak gambar pemimpin negara.

Bercakap kepada Malaysiakini, Aziz yang juga timbalan menteri pengangkutan berkata, tindakan memijak gambar pemimpin negara tidak sewajarnya berlaku kerana ia boleh menganggu gugat perpaduan di antara kaum dalam negara.

“Saya dan bahagian saya akan menyertai himpunan ini. Saya jangkakan 1,000 ahli akan terlibat.

“Mungkin ramai orang Melayu yang akan sertai himpunan ini setelah melihat pemimpin Islam dihina dan kebanyakan yang memijak (gambar) pemimpin Islam ini adalah kaum Cina. Ini cukup mencabar kesabaran orang Melayu,’ katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, penyertaan ahlinya dari bahagiannya itu adalah atas kapasiti mereka sendiri dan tidak dibiayai oleh beliau.

Kumpulan aktivis pendesak Melayu bercadang mengadakan “Himpunan Rakyat Bersatu” minggu depan untuk menyatakan bantahan terhadap BERSIH 4 yang dikaitkan dengan dominasi Cina dan DAP.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid semalam melarang perhimpunan di Bukit Bintang dan Jalan Petaling atas alasan implikasi keselamatan

Tiada ulasan: