Isnin, 10 Mac 2014

PAS, DAP sifatkan Azizah calon pengganti paling sesuai

SALMIYAH HARUN 


KAJANG: Pencalonan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon PKR menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang  mendapat sokongan penuh pemimpin PAS dan DAP.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli (gambar) berkata, jentera PAS akan meneruskan operasi mereka bagi memastikan kemenangan Dr Wan Azizah.

"Jentera (pilihan raya) kita dari awal lagi sudah bersedia. Kita sudah lancar minggu lepas dan mereka akan terus bekerja untuk memastikan BN kalah," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR, PRK Kajang, semalam.

Jelas Hatta, PAS mengalu-alukan keputusan PKR untuk mengangkat Dr Wan Azizah sebagai calon Kajang bagi menggantikan Anwar.

Anwar dijatuhi hukuman penjara 5 tahun secara tergesa-gesa oleh tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu setelah didapati bersalah dalam perbicaraan yang memakan masa dua hari.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) turut bersetuju dengan keputusan PKR itu dan menyifatkan Wan Azizah sebagai calon yang sangat sesuai bagi menggantikan Anwar.

"Mungkin dalam PRK ini kita boleh mencapai target agar calon BN hilang wang deposit. Kalau ini berlaku kita berjaya membuatkan rakyat bersetuju bahawa masa depan mereka gelap jika terus menyokong BN," tegas beliau.

Tiada ulasan: