Jumaat, 28 Mac 2014

Timbalan Menteri Pertahanan patut letak jawatan sebut perkara karut tragedi MH370 di Parlimen


lks (1)



GELANG PATAH,: Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri patut meletakkan jawatan atau dipecat kerana membuatkan krisis kredibiliti kerajaan dan negara menjadi lebih parah mengenai tragedi MH370 yang sudah lebih dua minggu berlaku.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Timbalan Menteri Pertahanan itu ternyata cuai dan tidak bertanggungjawab kerana menyebut perkara karut di Parlimen, Rabu lalu apabila menyatakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak cuba menghalang MH370 ketika pesawat itu dikesan radar tentera berhampiran Selat Melaka pada 8 Mac lalu kerana TUDM “mengandaikan” pesawat itu diarahkan untuk berpatah-balik oleh pengawal lalu-lintas udara.

Katanya, Abdul Rahim menyebut perkara itu ketika menggulung perbahasan usul ucapan terimakasih atas titah ucapan Yang Dipertuan Agong, di Parlimen, Rabu lalu.

“Tidak cukup untuk beliau menarik balik dakwaan itu setelah lebih 24 jam mengaibkan TUDM, kerajaan dan negara serta menyebut bahawa kata-katanya di Dewan Rakyat berkenaan pesawat MH370 yang berpatah balik itu ternyata silap dan hanya berasaskan andaiannya sendiri.

“Kesilapan Abdul Rahim menjadi lebih parah apabila kelmarin beliau mendakwa jawapan lebih tepat akan diberi setelah sisa pesawat ditemui.

“Inilah satu lagi perkara “karut”. Apakah Abdul Rahim ingin mengatakan bahawa tidak mungkin untuk mengetahui mengapa tiada tindakan susulan oleh TUDM ketika MH370 hilang daripada radar awam tetapi berjaya dikesan radar tentera melainkan jika “kotak hitam” ditemui?,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Malaysia berada dalam kemelut kerana masih belum mampu menjelaskan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 dan berdepan kritikan masyarakat dunia yang mempertikaikan kemampuan negara menangani krisis apabila keluarga penumpang dan anak kapal terbabit tidak diberikan semua maklumat yang berkaitan.

Beliau berkata, seperti yang disebut seorang pakar media dari Kanada, dalam dunia komunikasi krisis, persepsi dapat membawa akibat yang buruk.

Katanya, persoalan ini masih tidak terjawab dan tidak perlu menunggu “kotak hitam” untuk menjawabnya kerana Parlimen dan rakyat Malaysia berhak tahu mengapa tiada tindakan susulan dibuat TUDM dan pengawal lalu-lintas udara awam pada pagi 8 Mac itu, ketika MH370 baru lesap ke dalam ruang angkasa!

“Seperti yang selalu saya sebut di dalam dan luar Parlimen, bukan saja warga Malaysia, malah semua warga dunia perlu bersatu dalam misi mencari pesawat MH370 dan mendoakan keselamatan 239 penumpang dan anak kapal.

“Tiada ruang untuk pertelingkahan politik yang remeh-temeh. Pada masa yang sama, krisis ini tidak harus dipergunakan untuk mengabaikan atau melupakan seribu satu persoalan yang timbul daripada tragedi MH370 yang berlangsung selama 20 hari.

“Sehingga kini tiada siapa mengetahui jawapan bagi persoalan apa, bagaimana dan kenapa tragedi MH370 berlaku pada 8 Mac lalu.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim telah mengatur sesi taklimat berkenaan tragedi MH370 untuk Ahli Parlimen Pakatan Rakyat oleh pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada malam Selasa nanti.

“Saya bersama-sama Ahli Parlimen PR yang lain, akan menghadiri sesi taklimat Hishammuddin untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai bencana MH370 dan mengemukakan beberapa persoalan penting berkenaan krisis MH370 yang timbul bukan saja di Malaysia, malah juga di seluruh dunia.-Roketkini.com

Tiada ulasan: