Isnin, 31 Mac 2014

Ramai masih belum putus asa, percaya MH370 selamat

OLEH DIYANA IBRAHIM


Orang ramai melepaskan belon sebagai simbolik memperingati penumpang pesawat MH370 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 31 Mac, 2014.Orang ramai melepaskan belon sebagai simbolik memperingati penumpang pesawat MH370 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli,



























"Saya percaya mereka masih hidup sehingga kini," demikian antara luahan hati salah seorang daripada kira-kira 30 rakyat Malaysia yang hadir menyokong program memperingati kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia for Malaysian di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam.

Patrick Chow, 34 bekas petugas kabin MAS mengakui sangat terkesan apabila mendengar berita kehilangan MH370 dan nasib yang menimpa 239 penumpang dan anak kapal.

"Saya amat sedih bila mengetahui tragedi MH370 berlaku, tambahan lagi saya pernah bekerja di MAS, jadi peristiwa ini amat dekat dengan saya.

"Saya fikir tragedi ini mengenai kemanusian, jadi saya sebagai bekas kru, apa yang boleh saya sumbang saya akan buat, apa pun saya percaya mereka masih hidup marilah kita berdoa," katanya di hadapan hadirin.

Meskipun hujan lebat dan menyebabkan rancangan untuk melepaskan belon yang mengikat 239 nama penumpang dan anak kapal pesawat itu hampir tidak dapat dilakukan, ia langsung tidak menghalang semangat hadirin yang datang untuk melepaskan belon ke udara.

Penganjur, Azrul Mohd Khalib, berkata melepaskan belon ke udara bersama nama yang diikat dengan tali sebagai satu simbolik pendirian rakyat Malaysia bersama ahli keluarga penumpang tidak akan berputus asa mengharapkan keajaiban berlaku dan terus berdoa.

"Kita memang sudah lama merancang dan kita memutuskan  melepaskan belon ke udara adalah sebagai salah satu cara untuk kita berdoa, kerana masing-masing daripada kita mempunyai cara tersendiri untuk berdoa.

"Masing-masing ada kepercayaan mereka, ada yang bersolat dan sebagainya dan ini juga adalah salah satu di mana ia mungkin dapat melegakan ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370," katanya.

Program terhenti seketika kerana hujan lebat, disusuli dengan luahan hadirin yang datang dan terdiri daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum dan usia menimbulkan sedikit suasana pilu apabila rata-ratanya masih percaya sebenarnya penumpang dan anak kapal MH370 masih selamat.

Ahli Bersekutu Majlis Perundingan Perpaduan Negara, Profesor Madaline Berma yang turut hadir dalam acara itu berkesempatan untuk membacakan sajak dalam bahasa Iban, “Jaku berbuah” atau “Mana hilangnya MH370.”

Berma berkata, puisi tersebut yang menceritakan tentang pencarian MH370 dan turut menekankan nama Andrew Nari yang sememangnya diketahui sebagai anak jati Sarawak.

"Andrew anak kesayangan kita, dia tidak meninggalkan kita, dia tetap ada, dia terus mendengar kita," katanya.

Aktivis, Datin Paduka Marina Mahathir juga antara yang hadir menyokong program tersebut turut bersama berkongsi perasaan mengenai MH370.

"Kita datang dengan niat baik dan hati yang jujur serta ikhlas untuk mengingati penumpang dan anak kapal MH370.

"Kita akan terus berdoa tidak kiralah apa kaum dan agama, kerana apa yang manusia boleh lakukan menghadapi dugaan seperti ini, kita tidak berdaya, hanya mampu untuk terus berdoa," katanya.

Selain itu, seorang bekas kakitangan MAS berkongsi pengalamannya mengenali juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Siti Norhairiza Jauhari, 44 menyifatkan Kapten Zaharie sebagai seorang yang peramah dan suka berlawak.

"Walaupun tidak mengenali secara rapat namun kita pernah bertegur dan beliau sangat peramah suka buat lawak, apabila terdapat spekulasi buruk tentangnya saya tidak fikir langsung dia sanggup bertindak begitu,” katanya.

Katanya, kakitangan MAS sememangnya dilatih untuk menghadapi kecemasan termasuk menangani situasi kapal terbang dirampas.

"Kami memang terlatih dan diajar untuk menangani situasi seperti itu, jadi agak mustahil kalau tiba-tiba ia hilang begitu, saya percaya mereka masih ada," katanya.

Azrul berkata, program itu juga sebahagian daripada penghargaan kepada petugas operasi misi mencari dan menyelamat MH37O.

"Janganlah kita lupa tentang mereka yang bertungkus lumus dalam operasi tersebut sehingga pesawat belum dijumpai, kita tidak akan berhenti," katanya.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pesawat MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Bagaimanapun, sehingga kini pasukan mencari dan menyelamat belum menemui rangka atau serpihan pesawat MH370 di kawasan yang dikatakan itu.

Tiada ulasan: