Ahad, 30 Mac 2014

BN kekal di Balingian dengan majoriti besar

MALAYSIAKINI


BN mengekalkan kerusi DUN Balingian di Sarawak dengan majoriti besar.

 

Calon BN Yussibnosh Balo memperolehi 8,194 undi manakala calon PKR, Abdul Jalil Bujang mendapat 1,283 undi.

Yussibnosh mendapat 84 peratus daripada jumlah undi hari ini. Daripada 13,366 jumlah pengundi di Balingian, 72 peratus atau 9,668 keluar mengundi.

Beliau menang dengan majoriti  6,911 undi, Sebanyak 146 undi ditolak.

Ketika dihubungi, ketua PKR Sarawak Baru Bain berkata walaupun kalah dalam Balingian, PKR boleh berbangga dapat menembusi kerusi tersebut.

"Kami telah mencapai tiga perkara. Pertama, kami menambah jumlah undi. Kedua, kita tidak hilang deposit walaupun BN mendakwa sebaliknya.

"Dan akhirnya, dengan kami bertanding di Balingian, BN terpaksa mengumumkan banyak projek untuk kawasan pilihan raya itu. Kami berharap mereka akan melaksanakannya.

"Semua ini akan merangsang usaha kami  dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang, " katanya.

Balingian dianggap kubu kuat BN. Penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mendapat 6,210 undi dalam pilihan raya negeri 2011, atau 75 peratus undi. Beliau menang dengan majoriti 5,154 undi.

Pencabar terdekat Taib ialah calon bebas Datuk Salleh Jafaruddin, manakala calon PKR Suriati Abdullah hanya mendapat 871 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Taib melepaskan kerusi itu untuk dilantik sebagai yang dipertua negeri.

Tiada ulasan: