Sabtu, 29 Mac 2014

Pemilihan KEADILAN: Rodziah umum tanding Ketua Wanita Pusat


Rodziah 
Saya ingin mengumumkan bahawa saya akan bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam pemilihan parti 2014 ini.

KEADILAN DAILY


Ia adalah di atas keyakinan bahawa Wanita KEADILAN akan dipimpin untuk melaksanakan Agenda Reformasi dengan santunan, gerak kerja, perancangan dan pelaksanaan yang sudah sedia diperolehi model-modelnya dari pengalaman saya dalam barisan pimpinan KEADILAN dan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.
Keyakinan dari anggota kepimpinan wanita dan akar umbi juga menggesa agar adanya suatu perubahan dalam Sayap Wanita yang membolehkan kepimpinan baru menerajui Sayap Wanita KEADILAN.
“Pembaharuan itu diyakini akan memberikan kesegaran dalam pengolahan agenda masa depan Wanita KEADILAN.”
Ia merupakan suatu gesaan yang tidak boleh diketepikan dan saya tampil menyahutnya dengan segala i’tikad dan semangat supaya segera dapat dikotakan kepimpinan yang dikehendaki oleh anggota wanita KEADILAN: penerapan dan pengaktualan pembuatan keputusan secara kolektif, ketelusan dalam pengoperasian aktiviti wanita dan keakuran berlandaskan panduan dan perlembagaan parti.
Gesaan dari akar umbi itu adalah amanah bagi saya, yang akan saya genggam erat dan memohon agar sering diperingatkan kepada saya secara jujur dan tulus.
Saya yakin wanita-wanita anggota parti yang berkebolehan wajar juga menawarkan diri mereka untuk bertanding bersama-sama dalam barisan kepimpinan wanita KEADILAN.
Ia bertujuan agar barisan kepimpinan wanita KEADILAN lebih mantap dalam usaha ke arah membentuk masyarakat dengan rasa kasih dan empati, bersulamkan amalan saling memberdaya dan melengkapi.
Dengan penuh kesediaan dan rasa kesedaran akan amanah itu, saya telah mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat dalam Pemilihan KEADILAN 2014 nanti.
Rodziah Ismail
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat

Tiada ulasan: