Khamis, 27 Mac 2014

MH370: Taklimat Kepada Ahli Parlimen Pembangkang Selasa Depan

Oleh: BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen pembangkang bagi menyampaikan maklumat terperinci berhubung tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH370.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata satu pertemuan telah diatur pada malam Selasa depan antara anggota Parlimen pembangkang dengan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Tempoh hari anggota pembangkang ada mengadu kita buat sesi taklimat tak ajak mereka, jadi saya telah atur pertemuan dan semua anggota Parlimen pembangkang dijemput hadir.

"Setakat ini semuanya (anggota Parlimen pembangkang) setuju untuk hadir kecuali Anggota Parlimen Gelang Patah (Lim Kit Siang daripada DAP)," katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Shahidan berkata pertemuan ini membuktikan kerajaan terbuka kepada semua pihak dan tidak menyembunyikan apa-apa maklumat berhubung tragedi MH370 seperti didakwa pembangkang.

Shahidan berkata pada sesi pertemuan itu, pemangku menteri pengangkutan dan wakil daripada pihak terlibat akan menerangkan secara terperinci mengenai tragedi MH370.

"Anggota Parlimen pembangkang pula boleh menghuraikan segala syak wasangka mereka terhadap kerajaan mengenai tragedi itu," katanya.

Menyentuh tentang keputusan kerajaan yang hanya akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai tragedi MH370 selepas menemui kotak hitam pesawat itu, Shahidan berkata setakat ini kerajaan tetap dengan pendirian itu.

"...kerana selagi kotak hitam tidak ditemui adalah sukar untuk siasatan lanjut dijalankan, dan kita pasti banyak perkara telah dipertimbangkan oleh pemangku menteri pengangkutan sebelum keputusan ini dibuat," katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis data satelit oleh pengendali satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch di UK.

Tiada ulasan: