Ahad, 30 Mac 2014

Terlalu banyak berita boleh bodohkan rakyat? Inilah minda Menteri BN


Teresa kok 2



KUALA LUMPUR: Menteri BN sebenarnya yang suka mengelirukan isu dan rakyat, bukannya portal berita bebas, kata Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata bahawa kerajaan menolak permohonan permit akhbar Malaysiakini dan FZ.com kononnya kerana ingin mengelakkan rakyat keliru dengan terlalu banyak akhbar di pasaran.

Beliau mengambil contoh jawapan Zahid tentang ancaman tampar terhadap dirinya, dan kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berhubung tragedi pesawat MH370.

“Bulan lalu, Zahid meremehkan ugutan tampar terhadap saya oleh sekumpulan NGO dengan alasan hanya ugutan bunuh yang layak dipanggil ugutan. Ia terlalu mengarut sehingga beliau sendiri tidak berani pertahankannya di Parlimen.

“Semalam, Abdul Rahim berikan jawapan salah tentang isu penerbangan MH370 patah balik, yang makin kelirukan rakyat.

“Maka, bolehkah Zahid nafikan yang Menteri dan Timbalan Menteri BN sebenarnya cenderung kelirukan isu dan orang ramai?” katanya lagi.

Beliau merujuk jawapan Abdul Rahim, bahawa kenyataannya sebelum ini bahawa MH370 berpatah balik kerana mendapat arahan daripada pusat kawalan, hanyalah andaian.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Zahid turut mendakwa dua laman itu ‘cenderung’ menerbitkan ‘berita sensasi dan kontroversi’ untuk menarik perhatian pembaca.

Sehubungan itu, Naib Presiden DAP Kebangsaan itu mendesak Zahid untuk membuktikan kenyataannya itu, bukan sekadar membuat tuduhan tidak berasas.

“Agak kelakar untuknya mendakwa rakyat akan keliru dengan akhbar yang terlalu banyak. Beliau perlu tunjukkan bukti untuk menyokong dakwaannya itu,” katanya lagi.

Namun, katanya lagi, jawapan itu langsung tidak mengejutkan, memandangkan kerajaan BN sememangnya takut dengan organisasi berita yang membuat laporan bebas dan tepat tanpa kawalan mereka.

Bulan lalu, Malaysiakini memenangi anugerah Kecemerlangan Media Sosial di Anugerah Media Sosial dan Penulis Blog Sedunia 2014. – Roketkini.com

Tiada ulasan: