Jumaat, 28 Mac 2014

Satelit Jepun kesan 10 objek terapung


MH370 Grafik daripada Pejabat Penyelidikan dan Risikan Kabinet Jepun menunjukkan lokasi 10 objek dikesan. - Foto ihsan AP


SHAH ALAM - Satelit Jepun dilaporkan mengesan imej hampir 10 objek terapung di 2,500km di barat daya perairan Perth, semalam.

Memetik laporan sebuah media tempatan, imej satelit tersebut mungkin berkaitan dengan MH370.

Pejabat Penyelidikan dan Risikan Kabinet Jepun berkata, 10 objek dikesan daripada imej satelit yang dirakam semalam.

Objek itu terapung di kawasan berhampiran lokasi objek lain yang dikesan Australia, Perancis, China dan Thailand sebelum ini.

Berdasarkan imej satelit yang dirakam awal pagi semalam, objek terbesar bersaiz empat meter lebar dan lapan meter panjang.

Bagaimanapun, pengesahan kaitan antara objek itu dan MH370 masih belum diumum.

Sebelum ini, rakaman daripada imej satelit Thailand Isnin lalu mengesan 300 objek kira-kira 2,700 kilometer di barat daya Perth, menurut Agensi Teknologi Angkasa dan Geo-Informatik.

Sementara itu, 122 objek dikenal pasti Agensi Remote Sensing Malaysia (MRSA) berdasarkan imej satelit daripada Airbus Defence and Space yang dirakam pada 23 Mac.

Namun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) belum dapat menemui sebarang serpihan tersebut di selatan Lautan Hindi, setakat ini.

Tiada ulasan: