Isnin, 31 Mac 2014

Undi berasaskan kaum, BN mahu sistem apartheid?


dr.ong kia ming  (3)



KUALA LUMPUR: Berbanding menyokong sistem demokratik ‘satu orang satu undi’, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan sistem ‘satu kaum, satu wakil’.

Beliau ketika berucap di Parlimen hari ini berkata, sistem satu orang satu undi itu boleh dipakai seandainya setiap pengundi hanya dibenarkan mengundi mengikut kaum masing-masing.

Apabila dicelah Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke yang mengatakan Shahidan tidak faham konsep satu orang satu undi, beliau langsung membantah.

“Anda perlukan dua lagi ijazah untuk bersaing dengan saya. Saya ada PhD. Saya faham konsep ‘satu orang satu undi’ tetapi ia mesti berasaskan kaum,” katanya dilaporkan Free Malaysia Today.

Ahli Parlimen Arau itu malah mencadangkan pada sidang media kemudiannya bahawa parti politik berbilang kaum wajar dihapuskan dan diganti dengan tiga parti sahaja: Satu untuk Bumiputera, satu untuk orang Cina dan satu untuk orang India.

Mengulas kenyataan Shahidan itu, Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming mengecam keras cadangan itu.

“Shahidan mencadangkan satu sistem di mana orang Melayu mengundi wakil Melayu, orang Cina mengundi wakil Cina. Ini pilihan raya apartheid. [Saya] kecam sekeras-kerasnya,” tulis beliau melalui akaun media sosial Twitternya.

“Sekiranya PM Najib Razak tidak memberi amaran terbuka terhadap cadangan pengundian berasaskan kaum yang dicadangkan Shahidan, bukankah itu bermakna beliau menyokong apartheid?” tambahnya lagi.

Berita lanjut menyusul. – Roketkini.com

Tiada ulasan: