Isnin, 31 Mac 2014

Mana lebih afdal, had jawatan PM atau had umur Belia



Oleh Mahdzir Ibrahim


Ini hanyalah buah fikiran yang dikutip dari bacaan-bacaan serpihan dari idea besar, serta dari laporan-laporan berita dari akhbar-akhbar bercetak dan ruang maya. Juga dikumpul dari borak-borak kosong dengan kawan-kawan dikedai kopi ditemani dengan asap kenderaan dan asap rokok yang busuk dan kotor. 

Segelintir dari kami ada yang bercakap tentang idea jawatan Perdana Menteri (PM) ini patut dipilih terus oleh rakyat, iaitu rakyat mengundi seseorang calon khusus untuk jawatan PM, bukan sekadar mengundi parti yang akan memerintah. Maka, jika idea ini berlaku, mungkin rakyat perlu mengundi dua kali, mungkin.

Tapi pandangan ini disanggah kerana alasan bahawa sistem perlembagaan kita adalah mengikut model Westminster. Maka untuk wujudkan pemilihan khusus untuk PM dianggap sukar dan tidak praktikal untuk diubah kerana semua parti telah bersetuju bahawa model sedemikian memang tak mahu diubah, senang cakap model asal sistem ini tak begitu rupa.

Ada yang kata nak ubah ini kena ubah perlembagaan, kena ubah akta, ubah undang-undang, semuanya memakan proses panjang dan menjerihkan. Malah ada juga yang berpandangan bahawa rakyat susah nak faham proses ini, rakyat tak sedia dan ada yang berhujah bahawa perubahan itu boleh menjadikan sistem kita lebih kelam-kabut lagi. Pokok pangkalnya, idea ini memang  tak dimahukan.

Menolak idea ini tidak menjadi masalah, tapi perbahasan tentang idea ini harapnya janganlah ditolak sebab manusia sentiasa berevolusi dalam masa. Maka pandangan juga boleh berubah. Jika perbahasan ini ditolak, maka samalah dengan kita membunuh akal budi manusia. Orang masuk longkang, kita pun terjun ke longkang.

Idea kedua dari idea ini pula adalah untuk menghadkan penggal pemerintahan seseorang PM.
Maksudnya, seseorang PM ada had masa maksima untuk memerintah. Mungkin dua atau tiga penggal. Satu penggal umumnya mengambil masa selama empat ke lima tahun. Maka jika maksima dua penggal, bermakna seseorang PM itu akan berkuasa selama sepuluh tahun.

Dalam tempoh sepuluh tahun ini, rasionalnya kita fikir apa jua dasar samada ekonomi, sosial dan kebudayaan boleh dicapai. Namun suka atau tidak, capaian matlamat dalam tempoh sepuluh tahun ini amat bergantung dengan daya kecekapan dan budaya kerja entiti yang memerintah itu, termasuk budaya politik.

Malah, jika idea ini dipraktikan, pasti tarikh pilihanraya sudah awal-awal lagi perlu ditetapkan, maka akan hilanglah kelebihan parti yang memerintah. Ini yang dibimbangkan oleh penolak-penolak idea ini.

Jika kita lihat budaya politik dan budaya kerja seperti sekarang (yang sedang kita amalkan), pastinya empat lima atau enam penggal sekali pun takkan mencukupi untuk seseorang PM itu berkuasa dan menjalankan dasar-dasarnya. Sebab amalan sedia ada adalah amalan warisan, bukan amalan yang memang kita telah bahaskan menurut perbahasan yang tulen.

Kemalasan membahas untuk memperbaiki sistem dan budaya yang ada, atas apa jua alasan hanyalah untuk memastikan benda yang tak pasti itu - pasti.

Contoh dari amalan warisan ini sudah banyak. Lihat Erdogan di Turki, Regim-regim di Timur Tengah malah di Eropah termasuk Malaysia sendiri sebelum Tun Abdullah.

Idea ini bukanlah ayat mujarobat yang mujarab untuk mengelak lahirnya kepimpinan diktator, tetapi ia boleh jadi mekanisme asas untuk menghadkan ruang-ruang penyalahgunaan kuasa, kronisme berwarisan dan korupsi bersistematik.

Memang tak boleh hapus, sama macam rasuah macam kemalangan kenderaan, ia tak boleh hilang atau dihapus, tapi boleh dikawal. Maka inilah matlamatnya

Idea ini sebenarnya tidak digemari oleh kebanyakan pihak. Saya menyedarinya. Kerana had maksima pemerintah seseorang PM itu juga akan beri kesan terhadap perjalan pilihanraya, pemerintahan negeri dan paling utama adalah sistem dan budaya kerja yang ada. Malah paling terkesan adalah entiti parti politik itu sendiri.

Seribu satu alasan boleh diberikan untuk menolak pandangan ini, tetapi jika hendak dibandingkan dengan idea Khairy Jamaludin, Menteri belia dan Sukan untuk "mentakrif" semula umur belia sesungguh satu kerja yang sia-sia dan bodoh.

Pentakrifan semua entiti belia itu tidak memberi makna kepada demokrasi, kebebasan dan sistem yang sedia ada. Ia hanya langkah retorik seorang politikus muda yang ingin jadi juara dikalangan orang-orang bodoh disekelilingnya, khususnya Pemuda Umno dan Pemuda BN.

Dengan pentakrifan semula makna belia pada aspek umur, apakah ia akan beri kesan terhadap had umur mengundi dikalangan rakyat khususnya anak muda? Apakah ada perubahan dalam persatuan-persatuan yang dipimpin oleh belia-belia tua? Apakah ada kesan terhadap dasar dalam kerangka ekonomi negara? Semua soalan ini tak pula dijelaskan oleh beliau.

Tapi, bukanlah saya semata-mata nak mengutuk idea Khairy Jamaludin. Saya mengharapkan idea dari anak muda seperti beliau yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi yang lebih baik dan lebih praktikal yang boleh menyumbang ke arah keberkesanan 'transformasi' ketuanya.

Apalah nak bandingkan dengan pandangan yang saya lontarkan ini.

Ya, memang idea ini tak digemari oleh sesiapa pun termasuk dikalangan rakan-rakan dalam parti sendiri. Berbeza pendapat bukanlah perpecahan sepertimana "takrifan" Umno BN dan Ketuanan Melayu.

* Mahdzir Ibrahim adalah ahli jawatankuasa Dapsy kebangsaan, juga seorang pendukung seni dan kebudayaan.

Tiada ulasan: