Isnin, 10 Mac 2014

Tragedi MH370 dan duka negara


Oleh Ismail Hashim Yahaya


Banyak maklumat bersimpang-siur berhubung dengan kehilangan pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 dengan 239 penumpang termasuk 12 anak kapal sejak Sabtu lalu.

Berikutan kekurangan maklumat terkini banyak pula spekulasi yang tersebar di media sosial berhubung tragedi ini. Ramai yang berasakan maklumat yang disebarkan masih tidak memuaskan dan menjadi misteri.

Persoalannya sebuah pesawat tidak boleh hilang begitu sahaja di udara dan mesti ada alasan dan sebab musababnya. Inilah menimbulkan spekulasi di media sosial. Jika kerajaan pun tidak mempunyai sebarang maklumat konkrit yang hendak disalurkan maka bagaimanakah kita boleh mengatakan supaya spekulasi dihentikan. 

Bagaimanapun deru perasaan, hati nurani dan kesedihan rakyat Malaysia saat ini terlarut dalam duka, kepedihan dan keprihatinan mendalam akibat tragedi kehilangan pesawat MH370 ini.

Duka ini menjadi duka negara sebagai dijelaskan ilmuan semiotika dari Indonesia Yasraf Amir Piliang sebagai "the collective melancholy".

Mungkin juga tragedi misteri kehilangan pesawat ini mencetuskan ruang kesedaran bersama tanpa mengira agama, politik, dan kelas sosial yang terlarut dalam kebersamaan menghadapi duka, menyatu dalam kepedihan dan bersama mencari jalan keluar.

Namun citra-citra bencana (melalui media sosial, televisyen, video amatur, Youtube, kamera dan telefon bimbit) menciptakan dekonstruksi ruang-waktu.

Pelbagai realiti bencana melalui keupayaan teknologi perakaman mampu melintasi ruang waktu serta hadir dalam minda dan indera setiap individu yang walaupun berada dalam citraan tetapi dapat menyentak nurani setiap orang untuk berkongsi duka.

Ia menjadi citra bencana di layar skrin, telefon bimbit, dan internet; realiti kedukaan menjelma menjadi "imagology of suffering", iaitu berbagai citra tentang tragedi ini di media yang muncul dalam kemampatan ruang-waktu, yang mampu mengetuk pintu kesedaran dan perhatian manusia, meninggalkan jejak kesedihan mendalam sekali gus membangkitkan rasa kebersamaan di sebaliknya.

Paul Virilio dalam Open Sky (1999) menyatakan dalam era maklumat digital, pelbagai realiti seharian termasuk malapetaka, traegdi dan bencana dapat dirasai kehadirannya dalam bentuk stereo-realiti. Maksudnya "kecepatan elektronik" mampu menghadirkan citra malapetaka di Malaysia, China, Austria, Amerika Syarikat, Rusia, Ukraine, Australia dan Thailand dalam masa sebenar secara bersama.

Citraan elektronik atau digital dan kandungan maklumat di dalamnya dengan kecepatan tinggi dan kapasiti besar "mendatangi" manusia melalui proses peledakan maklumat ke dalam kerana semakin mudahnya capaian ke pelbagai gerbang maklumat melalui pelbagai media.

Oleh itu, geografi mala petaka kini mampu dihadirkan dalam bentuk "geografi citra malapetaka" seperti laman web radar145 umpamanya .

Citra tentang realiti tragedi dan malapetaka kini tidak hanya dapat dirakam tetapi juga dengan pantasnya dapat disebarluaskan melalui jaringan sehingga realiti itu berpindah dengan cepat seperti lalu lintas trafik sibuk, yang berupaya menciptakan semacam kejutan maklumat secara spontan atau berjadual serta meluaskan kesan psikologi seperti kesedihan, kepiluan dan kepanikan menjadi bersifat massa.

Namun, Virilio dalam The Lost Dimension mengatakan ledakan maklumat (hiburan, MTV) akan membawa manusia ke dalam keadaan kehilangan dimensi perenungan, spiritual dan akal sihat - tetapi citra malapetaka Jepun dan kesedaran mengenai bahaya penggunaan tenaga nuklear akan mengembalikan kembali haluan perenungan hakikat dan spiritual yang selama ini hancur diterpa keganasan (citra) politik, ekonomi, gaya hidup kepenggunaan yang tanpa rasa malu dan nurani.

Citra malapetaka Jepun dan ancaman radiasi radioaktif menjadikan setiap orang mengenali kembali wajah Tuhan yang sebelumnya samar-samar, pudar, luntur ditelan gaya hidup kepenggunaan dan absurditi politik.

Malapetaka ini seakan suatu kejutan untuk menyedarkan manusia bahawa ada dimensi kedalaman hakikat, kerohanian kemanusiaan di balik politik, ekonomi dalam kehidupan seharian.

Tida keterlaluan jika dikatakan tragedi misteri kehilangan MH370 mampu mengajak setiap orang kembali menjadi "ahli kerohanian seharian" dan ahli falsafah kehidupan yang dalam setiap kesempatan mencuba menafsirkan kehidupan sehariannya secara berperingkat mencari makna hakikat paling mendalam bahawa terdapat pengajaran di sebalik malapetaka ini dan ia berkait dengan keberadaan manusia, bahawa ada "Yang Maha Kuasa" di sebalik malapetaka.

Dengarlah stesen radio yang seharian dipenuhi dengan lawak jenaka sekarang bernada melankoli dan kedukaan.

Namun, watak manusia mudah hanyut dalam pelupaan hakikat. Malapetaka dahsyat menyentak kesedaran kemanusiaan, penyatuan, hakikat dan ketuhanan. Seiring berlalunya waktu, manusia kembali hanyut dalam reality seharian dan melupakan hikmah perenungannya.

Kita juga bimbang kematian dalam era kapitaslime digital menjadi kematian hiper yang sedihnya di skrin dan media dengan pengiraan keuntungan. Lagi sensasi lagilah keuntungannya.

Dalam liputan penuh dengan limpahan neon, apa yang dinamakan sebagai production of death through the media akan menjelma menjadi sebuah perjalanan ironi, iaitu perjalanan menuju kematian yang dilalui di sepanjang jalan yang penuh dengan citra banaliti kematian itu sendiri.

Apabila ini terjadi, malapetaka tidak dapat memberi makna. Menurut Yasraf lagi terdapat dua dimensi pelupaan.

Pertama, pelupaan vertikal, iaitu pelupaan yang bersifat hakikat-spiritual. Dengan berlalunya waktu, kerohanian seharian yang disedarkan oleh mala petaka (seperti  kemarau, catuan air, *****ushima, Aceh, Nias, Gunung Merati, banjir di Johor, Pulau Pinang dan Kedah) akan berlalu dan meredup.
Setelah itu, orang kembali ke banaliti seharian: kembali rasuah, konflik, pepecahan, saling curang dan membunuh dan hidup mewah. Penyatuan sosial yang dibangun akibat mapaletaka *****ushima sekadar penyatuan dan kesedaran sementara.

Kedua, pelupaan horizontal iaitu pelupaan yang bersifat sosial-teknologi. Setelah malapetaka hampir setiap orang mengingatkan mengapa tidak ada peringatan sebelum ini, mengapa tidak dibangun teknologi mesra alam dan antinuklear, mengapa tidak ada sistem pembendungan alam semulajadi dan mengapa itu dan ini.

Namun dengan berlalunya waktu, segala peringatan turut berlalu. Tiada ada tindakan, tiada ada penelitian dan tiada peruntukan dana.

Kita harap tragedi kehilangan misteri MH370 tidak akan menbawa kepada keadaan sedemikian. 

*Penulis adalah Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Media, Unisel kampus Shah Alam

Tiada ulasan: