Ahad, 30 Mac 2014

Inmarsat: Teori 'Berakhir di lautan' bukan dari kami

MALAYSIAKINI


 


Syarikat satelit yang berpangkalan di Britain, Inmarsat, berkata pihaknya tidak terbabit dalam membuat kesimpulan bahawa pesawat MH370 telah "berakhir di Lautan Hindi".

Pada malam 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa pesawat MH370 telah "berakhir di Lautan Hindi" dengan memetik analisis data satelit Inmarsat.

Bagaimanapun, pengumuman telah membangkitkan kemarahan di

kalangan keluarga penumpang China, yang enggan menerima kesimpulan itu sehinggalah pesawat tersebut ditemui.

Jurucakap Inmarsat Jonathan Sinnatt berkata Inmarsat hanya menyediakan maklumat dan terpulang kepada kerajaan Malaysia untuk membuat kesimpulan sendiri, laporan China Daily.

"Kami menyediakan maklumat kita kepada rakyat Malaysia, dan mereka menggabungkannya dengan maklumat yang lain yang mereka ada, yang kita tidak tahu tentangnya, dan kemudian mereka membuat kesimpulan daripadanya dan membuat pengumuman mereka sendiri.

"Kami tidak terbabit dengan apa yang Malaysia umumkan, itu terpulang kepada mereka, kerana mereka melihat gambaran penuh. Kami hanya menyumbang satu set maklumat," jurucakap itu dilaporkan berkata.

Sementara itu, Reuters melaporkan Xinhua hari ini berkata sebuah pesawat China telah mengesan tiga objek yang mencurigakan di kawasan carian baru di Lautan Hindi.

Barang-barang itu masing-masing berwarna putih, merah dan oren, kata Xinhua.

Manakala Astro Awani pula memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata hari ini bahawa protokol keselamatan
baru di pintu masuk negara, terutamanya KLIA, sedang dikaji dan diperbaiki jika perlu.

Imigresen akan memasang APSS atau sistem pemeriksaan penumpang yang akan dilaksanakan pertengahan bulan Jun.

Bagaimanapun beliau enggan menjawab ketika ditanya mengenai protokol ruang udara, sambil berkata ia terletak di bawah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Kementerian Pengangkutan.

Mengenai pelanggaran keselamatan ruang udara kita seperti yang berlaku terhadap lencongan penerbangan MH370, Zahid berkata ia adalah satu perkara yang melibatkan Kementerian Pertahanan.

Katanya, ketika beliau menjadi menteri pertahanan, Tentera Udara diberi tanggungjawab untuk memintas apa-apa unsur asing, tetapi bukan pesawat komersial, kerana radar primary dapat mengenal pasti antara sebuah jet pejuang, pesawat tentera dan pesawat komersil.

Tiada ulasan: