Isnin, 10 Mac 2014

Jerebu paksa acara pembukaan sidang Parlimen diubah

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Majlis Parlimen ke-13 di sini hari ini.
  
Pembukaan penggal kedua Parlimen ke-13 kali ini menyaksikan perubahan dari segi atur cara sambutan majlis perbarisan kawalan kehormat yang sepatutnya berlangsung di Dataran Parlimen, diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen berikutan cuaca berjerebu.
  
Keberangkatan tiba Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
  
Turut menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
  
Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian diiring masuk ke Dewan Bankuet untuk menerima sembah 'Hormat Diraja', menggantikan upacara pemeriksaan kawalan kehormat yang sepatutnya berlangsung di Dataran Parlimen.

Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi kemudiannya memainkan lagu 'Negaraku' diikuti tembakan meriam 21 das.
  
Tepat 11 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan Seri Paduka diiringi ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan.
  
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet dan perwakilan asing.
  
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama sebulan mulai hari ini (10 Mac) hingga 10 April depan. - Bernama

Tiada ulasan: