TABLOID
Britain, Daily Mail bertarikh 15 Mac lalu membuat spekulasi bahawa
juruterbang pesawat MAS MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, seorang
“fanatik politik” dan “aktivis sosial yang lantang”. Di laman sosial
pula telah tersebar bahawa Zaharie adalah ahli seumur hidup KeADILan.
Selepas
Dato’ Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa MH370 disyaki sengaja
menukar laluan penerbangan, tiga anggota polis berpakaian preman dari
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menggeledah kediaman Zaharie di Shah Alam,
juga 15 Mac lalu.
Zaharie didapati memasang
simulator Boeing 777 di rumahnya. Gambar yang disiarkan oleh juruterbang
berpengalaman itu di laman Facebooknya menunjukkan sebuah simulator
dengan tiga monitor komputer.
Menurut sumber
polis, pegawai-pegawai mereka hanya mencari beberapa bahan yang boleh
membantu siasatan untuk mengesan MH370. Terlalu banyak masa dihabiskan
untuk menyiasat dua komputer riba yang diambil dari rumah Zaharie. Walau
bagaimanapun, polis gagal mengesan komputer riba peribadi Zaharie dan
dipercayai dibawa ke dalam kokpit pesawat penerbangan ke Beijing itu.
Kata
Najib, penyiasat mengesahkan pesawat yang dikesan oleh radar tentera
adalah MH370 selepas komunikasinya mungkin dimatikan sebelum sampai ke
pantai timur Malaysia.
Penyiasat, tambah
Perdana Menteri, percaya seseorang di dalam pesawat tersebut sengaja
menutup sistem komunikasi dan pengesanannya, membawa ia berpatah balik
dan terbang selama hampir tujuh jam selepas ia dilaporkan hilang.
Sebagaimana
yang didedahkan oleh Najib, MH370 mungkin berada di koridor utara,
iaitu sempadan di antara Turkmenistan dan Kazakhstan sehingga ke utara
Thailand atau di koridor selatan yang mengunjur dari Indonesia ke Lautan
Hindi.
Polis turut memeriksa rumah pembantu
juruterbang, Fariq Abdul Hamid selama kira-kira sejam sebelum beredar
dengan sekurang-kurangnya dua beg kertas perang.
Terdapat
spekulasi meluas bahawa Zaharie dan Fariq bertanggungjawab terhadap
lencongan MH370 walaupun menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Dato’
Seri Hishammuddin Hussein, mereka tidak memohon untuk terbang bersama.
Walaupun
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengatakan BN tidak pernah
mengaitkan KeADILan dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan kehilangan
MH370, Dato’ Mahfuz Omar berkata ia berpunca daripada Najib yang boleh
dianggap sebagai kesilapan.
Ketua Penerangan
PAS Pusat itu menyifatkan Perdana Menteri bertanggungjawab memberi
“isyarat” kepada polis untuk menyiasat dan menggeledah rumah Zaharie.
Tindakan itu, kata beliau, menyebabkan penyiasatan kini beralih
sepenuhnya kepada juruterbang termasuk kru penerbangan yang didakwa ada
kaitan dengan kehilangan MH370.
Tambah Mahfuz,
kenyataan Najib dalam sidang media itu akan memberi kesan negatif kepada
MAS dan banyak pihak akan hilang kepercayaan kepada sistem penerbangan
kita. Lebih buruk, Najib bergegas keluar selepas membaca kenyataan dan
tidak mahu menjawab soalan para wartawan. Tindakan tersebut amat
dikesali dan menjadi persoalan.
Mahfuz turut
mencabar kerajaan agar membuktikan benar atau tidak dakwaan beliau
bahawa rundingan sedang diadakan di antara Menteri Luar dengan perampas
MH370. Katanya, rundingan mungkin telah bermula kerana menterinya, Dato’
Seri Anifah Aman langsung tidak kelihatan pada sidang Dewan Rakyat
sejak beberapa hari kebelakangan ini.
KeADILan
mengaku Zaharie merupakan ahli parti itu, tetapi pemimpinnya meminta
semua pihak tidak membuat spekulasi mengaitkan mereka dengan kehilangan
MH370.
Menurut Ketua KeADILan Cabang Subang,
Sivarasa Rasiah, beliau mengenali Zaharie sejak juruterbang itu
menyertai parti tersebut, 23 Januari tahun lalu. Baginya, laporan Daily
Mail itu langsung tidak merujuk mana-mana sumber.
Menurut
beliau yang juga Ahli Parlimen Subang, tabloid itu mengaitkan Zaharie
dengan mengetengah dua spekulasi yang tidak disahkan sebagai fakta.
Pertama, mendakwa Zaharie menghadiri keputusan rayuan kes Liwat II Ketua
Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum menerbangkan
MH370. Kedua, Zaharie dilaporkan lantang bersuara hal-hal sosial.
Zaharie,
kata Sivarasa, sama seperti ahli-ahli parti politik lain. Dua fakta itu
digunakan untuk menggelarnya sebagai “fanatik politik”. Kesimpulan
tidak boleh dibuat kerana tiada bukti.
Naib
Presiden KeADILan, Tian Chua pula berkata partinya tidak mahu terheret
dalam polemik dan menuding jari yang dianggap tidak membawa manfaat.
Katanya, tumpuan harus diberikan dalam usaha mencari MH370.
Tian
Chua berharap semua pihak, terutamanya media dan parti-parti komponen
BN menghormati keluarga serta penumpang MH370 dan tidak membuat terlalu
banyak andaian yang akan menjejaskan siasatan, dan menyinggung perasaan
ahli keluarga terbabit.
Tegas beliau, adalah
tidak relevan untuk mengaitkan insiden tersebut dengan Anwar dan
KeADILan, malah mendakwa maklumat yang disiarkan itu palsu dan hanya
bersifat tanggapan tanpa bukti kukuh. Katanya, ia isu keselamatan MAS.
Daily
Mail turut mendedahkan Zaharie didakwa berada di Mahkamah Rayuan, 7 Mac
lalu untuk memberi sokongan moral kepada Anwar dan menyaksikan
detik-detik hukuman lima tahun penjara dijatuhkan.
Selepas
mahkamah berakhir pada jam 7 malam, Zaharie pulang ke rumah, dan dua
jam kemudian bertolak ke KLIA untuk tugasan menerbangkan MH370 ke
Beijing.
Masalahnya, beberapa blog dan
pengendali laman sosial pro-Umno tanpa segan-silu serta mempedulikan
perasaan isteri dan ahli keluarga Zaharie, terus mengaitkan dengan
hukuman penjara terhadap Anwar sebagai punca kehilangan MH370.
Zaharie
didakwa kecewa dengan hukuman itu dan cuba meluahkan perasaannya dengan
melakukan sabotaj. Jika itu benar, adakah dia seorang yang tidak
berfikir panjang kerana tindakan tersebut tidak mampu mengubah apa-apa,
malah membahayakan nyawa penumpang, dan mengancam masa depannya sendiri?
Justeru,
cadangan agar penapisan ketat perlu dibuat untuk memastikan hanya
mereka yang menyokong kerajaan Umno-BN sahaja diambil berkhidmat dengan
MAS adalah tidak bijak dan keterlaluan. Ideologi politik dan kelayakan
bekerja adalah perkara berbeza.
Sesiapa sahaja
yang layak boleh berkhidmat dengan MAS tanpa mengira anutan politik.
Zaharie tidak wajar dituduh mensabotaj MH370 kerana perbuatan tersebut
membahayakan bukan sahaja orang lain, malah diri sendiri dan mengancam
masa depannya. Tidak logik.
Bagi Setiausaha
Agung KeADILan, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail, laporan Daily Mail
adalah khayalan luar biasa dan perkara terbabit mustahil berlaku kerana
membabitkan nyawa ramai manusia yang tidak berdoa, selain satu teori
konspirasi politik tidak logik walaupun Zaharie ahli seumur hidup parti
itu.
Anwar juga berkata tidak wajar mengaitkan
kehilangan MH370 dengan dirinya. Beliau menafikan kehilangan pesawat itu
akibat kesedihan Zaharie ekoran keputusan kes Liwat II.
Pada
mulanya Anwar menyangka MH370 hilang kerana juruterbang kecewa beliau
dijatuhi hukuman penjara hanya sekadar gurauan. Rupa-rupanya ia tuduhan
serius. Agensi-agensi media asing seluruh dunia mendakwa Zaharie begitu
sedih dan bertindak melarikan MH370 kerana Anwar dihukum penjara lima
tahun.
Jelas Anwar, kesedihan kerana beliau disabitkan bersalah dikongsi oleh jutaan rakyat Malaysia, bukan hanya Zaharie seorang.
Sementara
itu, Aishah, anak Zaharie, menyifatkan spekulasi media antarabangsa
yang mengaitkan bapanya dengan misteri kehilangan pesawat itu melukakan
hati keluarganya.
Menurut laporan beberapa
portal berita Australia, Aishah, 27, memberitahu rakan-rakannya bahawa
spekulasi mengenai bapanya oleh media antarabangsa tidak benar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan