Ahad, 30 Mac 2014

Syabas lanjut catuan bekalan air hingga 30 April

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga yang dijadualkan berakhir Isnin depan akan dilanjutkan sehingga 30 April ini.
  
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Pelan Kontigensi Pengagihan Bekalan Air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan negeri Selangor semalam.
  
"Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama masih aktif kerana Loji Rawatan Air (LRA) di Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih ditutup berikutan paras kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Priscilla berkata bagi pengguna di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang memperoleh bekalan air menerusi kedua-dua LRA berkenaan akan menghadapi catuan bekalan air seperti yang dijadualkan dalam Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama.
  
Bagi Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga yang melibatkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang masih diaktifkan ekoran paras empangan dan aliran air di Sungai Selangor masih tidak meningkat.
  
"Splash (Syarikat Pengeluar Air Selangor) dan Puncak Niaga masih meneruskan pengawalan dan pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates," kata Priscilla.
 
Justeru beliau menasihati pengguna supaya mengelakkan pembaziran dan tidak menggunakan air untuk tujuan tidak penting seperti mencuci kenderaan, mengisi air ke dalam kolam renang dan menyiram tanaman hiasan. - Bernama

Tiada ulasan: