Abdul Hadi Awang Datuk Seri Abdul Hadi Awang


KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 14 April bagi keputusan permohonan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.
  
Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Mohamad Nasrudin Mohamed, memberi tempoh kepada plaintif, Mohd Shamsul yang diwakili peguam A. Vasudevan menfailkan afidavit balasan yang dikemukakan pihak defendan.
  
Abdul Hadi yang merupakan anggota Parlimen Marang dinamakan sebagai defendan, tidak hadir di mahkamah hari ini, beliau diwakili peguamnya, Asmuni Awi manakala plaintif hadir di mahkamah.
  
Asmuni berkata dalam sesi pendengaran itu peguam plaintif, Vasudevan mendakwa wujud elemen baharu yang ditimbulkan pihaknya, justeru memohon penangguhan bagi memfailkan afidavit jawapan.   

"Kes hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan oleh pihak defendan. Kami telah failkan hujahan bagaimanapun peguam plaintif meminta penangguhan bagi membolehkan mereka memfailkan afidavit jawapan sebagai tambahan kepada afidavit yang telah mereka failkan dulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Pada 23 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Abdul Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Disember tahun lepas.
  
Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum lepas sebagai alasan untuk Pas meletakkan calonnya bertanding di Dun Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya dia mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. - Bernama