Isnin, 10 Mac 2014

Pemuda PAS kerah jentera turun ke Kajang esok

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengarahkan jenteranya di semua peringkat untuk turun beramai-ramai pada hari penamaan calon PRK N25 Kajang bagi menunjukkan solidariti dan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan.

Pengarah Jabatan Pilihan Rayanya, Mohd Sany Hamzan (gambar)  berkata, himpunan solidariti itu juga penting bagi memperlihatkan rasa amarah terhadap kebobrokan sistem perundangan negara yang tempang serta permainan politik kotor Umno-BN.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Mohd Sany berkata, Pemuda PAS di semua peringkat juga telah diarahkan untuk membantu gerakerja pilihan raya Kajang mengikut jadual dan perancangan yang telah ditetapkan oleh Jentera Operasi Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia.

"Kami menyifatkan penghakiman 7 Mac 2014 lalu sebagai mengulangi episod hitam kegagalan dan kerosakan sistem perundangan negara dalam kes Liwat I tahun 1998.

"Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia amat yakin dan percaya keputusan penghakiman terpilih yang dibuat secara tergesa-gesa ini telah dibayangi dan dicemari oleh tangan-tangan dalang yang akan terkesan jawatan dan kuasa mereka sekiranya Anwar tidak diperosokkan di dalam kandang orang yang bersalah," tegas beliau.

Beliau turut merakamkan simpati kepada Anwar dan keluarga di atas musibah yang melanda dan berharap mereka terus bersabar serta memperbanyakkan doa.

"Kami memberi amaran kepada pihak-pihak yang cuba merosakkan sistem perundangan negara dan demokrasi berpilihan raya di dalam negara ini supaya bertaubat dan memohon maaf di atas segala perancangan jahat dan fitnah yang telah dilakukan selama ini kerana sesungguhnya kematian itu adalah sangat hampir dan azab Allah Taala adalah sangat pedih," kata Mohd Sany. 

Tiada ulasan: