Ahad, 12 Januari 2014

Tiada sebab SPAD bergembira sekarang,pengangkutan awam masih belum memuaskan

 


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sepatutnya menunggu dulu sebelum bergembira di atas peningkatan jumlah pengguna pengangkutan awam di negara ini.Walaupun jumlah ini meningkat pada tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya, pengangkutan awam di negara ini masih tidak dapat memenuhi kehendak penumpang, yang mahukan sistem pengangkutan yang boleh dipercayai.

Bercakap kepada theantdaily, setiausaha agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA); Datuk Paul Selvaraj menjelaskan yang pengangkutan awam di negara ini belum lagi mencapai tahap “boleh dipercayai dan tersambung”.

Selvaraj mengulas laporan berita terhadap kenyataan SPAD bahawa semakin ramai penumpang di Lembah Klang bertukar kepada pengangkutan awam, dengan kadar pertukaran meningkat dari 19.6% pada 2012, ke 20.8% pada tahun lepas.

SPAD dilaporkan menjelaskan kenaikan ini disebabkan beberapa program kerajaan yang dijalankan SPAD dan pengusaha pengangkutan awam, termasuk 1,388 hentian bas baru atau yang dibaikpulih, 470 bas RapidKL baru, sembilan koridor transit lebuhraya bas, 35 set tambahan empat-gerabak untuk LRT Kelana Jaya dan 37 set tambahan enam-gerabak untuk KTM Komuter.
Bagaimanapun Selvaraj belum berpuashati.

“Mengikut perancangan mereka sendiri, mereka mensasarkan mendapat sehingga 40% peratusan pengguna pengangkutan awam, seperti yang dirangka dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat GKL/Lembah Klang, tetapi mereka gagal memenuhi sasaran ini.

“Mereka sepatutnya mensasarkan supaya pengguna di kawasan bandar menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama,” jelasnya.

Tambahnya lagi, SPAD seharusnya faham yang masalahnya bukan hanya boleh diselesaikan dengan menambah gerabak ataupun bas, tetapi melalui sistemnya dahulu.

“Bila saya keluar dari rumah, berapa jauhkah saya kena berjalan ke hentian bas? Berapa lama perlu saya menunggu bas? Berapa lama untuk saya tiba ke stesen komuter? Selepas tiba di stesen destinasi, berapa jauh pula jaraknya dari pejabat saya? Adakah sistemnya senang dan boleh dipercayai? Bagaimana saya nak mencari maklumat yang diperlukan?” aju Selvaraj.

Dan menurutnya, cara terbaik bagi SPAD mengetahui jawapannya adalah dengan bercakap dengan pengguna sendiri.

“SPAD harus meluaskan apa yang mereka tahu mengenai keinginan pengguna, dan mempelajari mengapa mereka tidak menggunakan pengangkutan awam.

“Jika saya tak tahu jadual bas dan bagaimana untuk mencari maklumatnya, bagaimana saya nak meyakini sistemnya? Tanpa keyakinan ini, pengguna tak mahu menunggu dan akan memilih untuk menggunakan kenderaan peribadi,” tambahnya lagi.

Dia berkata, pengangkutan awam tidak sepatutnya dianggap sebagai pilihan golongan kurang berkemampuan, tetapi pilihan utama semua pengguna.

“Golongan yang berkemampuan yang sepatutnya meninggalkan kenderaan mereka dan memilih pengangkutan awam.”

Hujah Selvaraj sukar untuk dinafikan, jika dilihat dari laporan yang menyebut bahawa lebih dari lima juta kereta menggunakan jalan dan lebuhraya di Lembah Klang, sewaktu waktu puncak pagi dan petang.

Sebelum ini gabungan ini pernah menyerahkan sebuah memorandum berkenaan kelemahan sistem pengangkutan awam kepada kerajaan. Ia juga mencadangkan beberapa langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini, sebagai sebahagian dari perbincangan Belanjawan 2014 yang diadakan tahun lepas.

“SPAD mesti mengatasi masalah ini dan mengumumkan langkah-langkah ini kepada orang awam, bukan sahaja tentang berapa banyak bas dan LRT, tetapi juga dari segi capaian dan jadual, dan maklumat ini hendaklah senang diakses.

“Keseluruhan sistem mesti diperbaiki, bukan sekadar penambahan jentera dan perkakasan” akhiri Selvaraj.

Mesti diingati juga yang kenaikan jumlah pengguna mungkin disebabkan peningkatan jumlah penduduk, dan pengguna-pengguna yang tiada pilihan lain kerana tidak berkemampuan membeli motosikal ataupun kereta.-The Ant Daily

Tiada ulasan: