Isnin, 13 Januari 2014

Selamatkan negara dahulu, baru selamatkan parti


Oleh Aspan Alias


Isu Allah sudah menjadi isu yang tidak mungkin selesai. Saya tidak berani memberikan pandangan tentang hukum dan hakam kepada persoalan ini. Tetapi yang saya tahu penyelesaian tidak akan dapat dicari kerana saya cenderung untuk menuduh isu Allah ini adalah isu yang dipolitikkan oleh setengah pihak untuk kepentingan politik mereka. 

Mungkin ramai yang membantah apa yang ada dalam pemikiran saya, tetapi saya juga tahu Tuhan menyuruh kita mengenali di antara satu dengan lain serta menghormati di antara kaum dan agama. Di negara lain tidak timbul isu ini dan tidak pernah pula kita mendengar isu ini merebak dimana-mana negara diseluruh dunia ini.

Apabila ada pihak yang menyangkutkan nama Allah ini dengan akidah, maka ia tidak akan selesai kerana selama ini banyak agama menggunakan nama Allah ini dalam agama mereka sejak dari dulu lagi. Tidak usah kita menjadikan isu ini lebih berat dari apa yang kita hadapi sekarang ini.

Kita khuatir isu ini akan membawa padah kepada negara kerana ia amat sensitif. Yang melanggar hukum agama pun menjadi sibuk membahaskan isu ini tanpa mengetahui dan tidak mampu membezakan di antara sifat dengan zat Tuhan itu. Mahu tidak mahu kita perlu selesaikan isu ini dengan baik dan harmonis.

Elok dihimpunkan semua ulamak dan sadiqiah Islam di seluruh dunia bersama dengan ketua-ketua agama lain dan adakan perhimpunan itu di Kuala Lumpur kerana isu ini hanya berlaku di sini. Ambil keputusan yang boleh diterima dan difahami oleh semua pihak tentang isu ini. Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan hari ini untuk menyelesaikannya kerana tidak ada pemimpin kerajaan yang tahu untuk menyelesaikannya termasuk Menteri yang bertanggungjawab tentang agama dalam kabinet kerajaan sekarang ini.

Kenapa tidak ada seorang pun yang boleh memberikan pandangan yang tepat sedangkan kita mempunyai Mufti-Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja dan berbagai-bagai lagi. Kenapa isu ini ditentukan oleh mahkamah dan yang lebih mengaibkan kerajaan isu agama seperti ini diselesaikan oleh mahkamah sivil.

Dimanakah kredibiliti kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib kerana tidak mampu menyelesaikan masalah ini? Masalah dan hal ehwal agama adalah dibawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu dan elok kita bertanya kepada Perdana Menteri Najib apakah nasihat beliau sebagai Perdana Menteri kepada Majlis Raja-Raja kita tentang hal ini. Bukankah Perdana Menteri sewajarnya memberikan nasihat kepada Raja-Raja apa yang perlu dilakukan oleh mereka dalam penyelesaian masalah dan isu yang amat merbahaya ini.

Ini juga masalah keselamatan negara selain dari masalah agama kita. Siapa pula yang menasihatkan kabinet dalam isu ini? Adakah Jamil Khir Baharom? Atau siapa?

Dalam sejarah negara merdeka, pentadbiran Najib ini merupakan pentadbiran yang paling lemah yang tidak ada tolok bandingnya. Kita seolah-olah tidak ada kerajaan. Ditempat-tempat awam dan dimana-mana sahaja kita kedengaran orang ramai memberikan ejekan terhadap Najib dan itu jelas menunjukkan betapa rendahnya seorang pemimpin utama negara di mata rakyat yang beliau pimpin. Tidak ada siapa yang ‘accountable’ terhadap banyak isu hangat sekarang ini.

Semalam keluar pula satu kenyataan bekas ahli jemaah kabinet Zainuddin Maidin menyeru supaya Dr Mahathir kembali kePutrajaya untuk memberikan jawapan kepada masalah negara hari ini. Kenyataan Zainudin ini jelas sekali adalah tindakan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Najib dan ini tidak berlaku keatas mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Walaupun menjemput Dr Mahathir kembali ke Putrajaya itu merupakan satu tindakan yang boleh dianggap ‘pandir’ tetapi ia merupakan satu manifestasi buruk terhadap Najib dan dari sudut moralnya tidak boleh menunggu siang untuk keluar dari Seri Perdana itu. Dari sudut semangat demokrasinya semua ahli-ahli kabinet negara juga perlu berundur sekali kerana mereka adalah kabinet lantikan Mohd Najib.

Semua ahli kabinet perlu bersama-sama mengiringi Najib keluar dari Putrajaya dan laksanakanlah kaedah memilih Perdana Menteri seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara, iaitu kepada sesiapa yang mendapat kepercayaan Parlimen walaupun dengan undi ‘simple majority’.

Kaedah memilih Perdana Menteri secara convention yang memilih sesiapa yag memegang teraju UMNO itu tidak dapat dilaksanakan lagi. Ini disebabkan Muhyidin sendiri adalah salah seorang lantikan Najib dalam kabinet negara kita yang sepatutnya bersama-sama mengiringi Najib keluar dari Putrajaya itu.. Yang pentingnya seorang Perdana Menteri itu wajar dari kalangan Ahli-Ahli Legilatif Persekutuan dan seorang Melayu beragama Islam dipilih walaupun dalam perlembagaan tidak termaktub PM itu seorang Melayu.

Terpulang kepada siapa dilantik dan dipilih mentadbir negara itu untuk mengambil kembali mana-mana ahli kabinet yang berhenti itu untuk dilantik kembali ke kabinet oleh pemimpin yang baru dipilih oleh Parlimen itu. Pada pendapat saya yang tidak sepertinya ini, saya beranggapan tindakan ini perlu dilakukan semata-mata untuk mengelak negara ini jatuh kekancah yang lebih hina lagi.

Hentikan ‘partisan politics’ buat sementara ini kerana hakikatnya masih ada pemimpin-pemimpin yang berbakat dalam UMNO sekarang. Ramai juga yang berbakat dalam PAS dan begitu juga dalam PKR serta parti-parti lain yang wujud dan bergerak dinegara ini. Selamatkan negara dahulu sebelum kita selamatkan parti. Tidak guna parti selamat sedangkan negara hancur lebur. Hanya mereka tidak mempunyai seorang yang mempunyai seorang pemimpin yang boleh mengetuai mereka dengan sifat ‘magnanimous’ dan berpengalaman serta berwibawa.

Sesiapa yang tidak lagi menjadi pemimpin mereka tidak kesaorangan. Mereka boleh bersama saya dikedai mamak minum kopi atau teh tarik dan berikan sokongan kepada siapa yang terpilih melalui Parlimen itu. Setakat secawan dua teh dan sebiji dua karipap, saya boleh belanja.

Seperti yang saya sebut ratusan kali dalam blog ini, ‘let’s start this nation anew’. Masanya sudah tiba dan tidak boleh ditangguh lagi.http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan: