MUHAMMAD SHA’ANI ABDULLAH  
 MUHAMMAD SHA’ANI ABDULLAH


BERMULA dengan pengurangan subsidi RON95 sebanyak 20 sen, kemudian diikuti dengan gula sebanyak 34 sen, dan 30 peratus kenaikan tambang bas sudah cukup membebankan.

Tidak cukup dengan itu beberapa pengumuman kenaikan terus dilakukan kerajaan termasuk pelaksanaan tarif elektrik yang baru bermula 1 Januari 2014 sudah cukup menggelisahkan rakyat.

Ramai yang menggambarkan tahun 2014 sebagai tahun membebankan namun hakikatnya kita sebagai pengguna berperanan besar dalam pasaran.

Bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan susulan pengumuman dibuat kerajaan itu, pengguna perlu tahu apakah tindakan yang perlu diambil agar tidak tertekan dengan kenaikan harga barang di pasaran.

Ikuti temubual wartawan, Robiatuladawiyah Abd Rashad dan jurufoto Afiq Razali bersama Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), MUHAMMAD SHA’ANI ABDULLAH mengenai isu kenaikan harga barangan.

SINAR HARIAN: Walaupun sudah 40 tahun Fomca ditubuhkan, tetapi masih ada yang kurang jelas tentang fungsi dan peranan Fomca dalam isu kepengunaan?

MUHAMMAD SHA’ANI: Fomca adalah sebuah pertubuhan sukarela, tidak mementingkan keuntungan, bukan politik dan pertubuhan sivik. Ia menjadi payung bagi persatuan pengguna gabungannya.

Fomca bekerja rapat dengan kerajaan dan badan bukan kerajaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam memberikan maklumat, pendidikan dan perlindungan pengguna.

Keutamaan bukan sahaja nilai untuk wang tetapi juga nilai untuk manusia. Fomca berusaha untuk mempertingkatkan melalui kuasa beli pengguna, pembangunan berasaskan keperluan yang memastikan keadilan sosio-ekonomi dan alam sekitar bagi mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua rakyat.

SINAR HARIAN: Berapa banyak pertubuhan yang bernaung dibawah Fomca?

MUHAMMAD SHA’ANI: Sebanyak 71 buah persatuan pengguna telah berdaftar dan kini 17 buah pertubuhan yang bergabung dibawah Fomca.

SINAR HARIAN: Apakah bentuk aduan yang diterima pihak Fomca?

MUHAMMAD SHA’ANI: Kami menerima semua jenis aduan yang sama ada dalam bentuk barangan dan perkhidmatan yang melibatkan pengguna sendiri bukan ke atas barangan yang melibatkan perniagaan.

Kami umpama pusat sehenti kepada pengguna. Pengguna yang ada masalah tidak perlu buat aduan kepada agensi terlibat, kami boleh membantu mengajukan permasalahan itu pihak berwajib.

SINAR HARIAN: Dalam sehari berapa banyak aduan yang Fomca terima?

MUHAMMAD SHA’ANI: Lebih 100 aduan diterima melalui e-mel, telefon dan ada yang datang terus ke pejabat.

SINAR HARIAN: Apakah bentuk aduan yang selalu diterima dan apakah kekangan di pihak Fomca?

MUHAMMAD SHA’ANI: Selalunya melibatkan soal kenaikan harga makanan, bagaimanapun kes seumpama ini susah untuk di justifikasikan kerana harga yang tidak didalam senarai harga barangan kawalan tidak boleh diambil tindakan.

Contohnya, ada kedai menaikan harga roti canai atau teh tarik, pada dasarnya ini bukan satu kesalahan kerana itu hak peniaga untuk meletakkan berapa nilai harga barangan yang dijual.

Bagaimanapun, jika kenaikan itu terlalu melampau aduan boleh dibuat kepada pihak kementerian yang terlibat untuk membuat tindakan susulan.

Tetapi kami sering kali menerima aduan yang tidak lengkap mengenai isu ini, seperti tiada perbandingan harga dibuat, tiada nama premis dan alamat yang lengkap.

SINAR HARIAN: Ramai yang mengangap 2014 adalah tahun kenaikan dan tahun membebankan, pada pandangan pihak Fomca sendiri bagaimana?

MUHAMMAD SHA’ANI: Objektif peniaga adalah untuk memaksimumkan keuntungan, maka peniaga akan sentiasa menaikan harga mereka ikut situasi.

Bila kerajaan umumkan kenaikan gaji, maka peniaga akan anggap rakyat ada duit. Kerajaan naikan tarif elektrik dan umumkan kenaikan tol, pengangkutan awam dan sebagainya pada 2014, kenaikan ini melibatkan semua orang, peniaga juga akan terjejas juga bila tarif elektrik naik.

Contoh air batu perlukan tenaga elektrik yang tinggi maka mereka perlu naikan harga.  Apabila untung mengecil maka mereka akan naikan harga uintuk kekal keuntungan.

Pengumuman kenaikan itu, membuatkan 2014 nampak sebagai tahun kenaikan. Kenaikan ini akan digunakan untuk mewajarkan kenaikan barangan yang lain.

Kenaikan tarif elekterik menyebabkan banyak barang lain akan naik kerana melibatkan semua sektor.  Bagaimanapun, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan kenaikan yang dibuat tidak menggambarkan kos sebenar.

SINAR HARIAN: Adakah tindakan kerajaan mengurangkan subsidi itu satu langkah yang membebankan rakyat?

MUHAMMAD SHA’ANI: Subsidi bukan satu jalan yang terbaik, kerana apabila kita subsidikan banyak barang orang orang kaya yang lebih menikmati subsidi itu kerana mereka lebih banyak membeli.

Subsidi adalah bantuan untuk golongan susah. Bagaimanapun, kerajaan perlu kawal kenaikan harga di pasaran di samping membina skim bantuan terus kepada kumpulan berpendapatan rendah contohnya BR1M.

Bagaimanapun, saya berpendapat pemberian tunai  juga boleh ditukar kepada bentuk baucer kerana dibimbangi wang tunai itu disalah gunakan untuk tujuan keperluan asas.

SINAR HARIAN: Jadi apakah barangan atau perkhidmatan yang perlu kerajaan subsidikan?

MUHAMMAD SHA’ANI: Perkhidmatan sosial, seperti kesihatan, pengangkutan awam, pendidikan  dan perumahan. Sektor ini perlu diberikan subsidi yang banyak kerana segala kemudahan ini adalah tanggungjawab kerajaan.

Selalunya, pengangkutan awam digunakan oleh orang yang berpendapatan rendah begitu juga di hospital kerajaan.

SINAR HARIAN: Terbaru harga ais batu naik, pada penelitian pihak Fomca  apakah barang lain lagi dijangka akan naik pada tahun 2014?

MUHAMMAD SHA’ANI: Saya jangka banyak lagi barang akan naik kerana semua pihak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik.

Bukan sahaja barangan keperluan tetapi juga perkhidmatan kerana peniaga yang mempunyai premis akan mengalami beban penambahan kos, maka mereka akan lakukan perubahan harga pada barangan dan perkhidmatan yang diberikan.

SINAR HARIAN: Apa yang perlu dilakukan untuk  berdepan dengan musim kenaikan harga barang ini?

MUHAMMAD SHA’ANI: Pengguna berkuasa dalam pasaran, pengguna jangan rasa mereka berseorangan. Jika semua orang sepakat untuk boikot, saya percaya kita dapat mengawal harga di pasaran.

Apabila sesuatu barangan itu diboikot, peniaga tidak dapat tanggung kerugian dan lama kelamaan mereka akan akur. Perlu ada panduan harga berpatutan untuk mudah kita bertindak.

Contoh, selalunya harga ayam RM6 sekilogram  dipasaran. Kita anggap kalau ada yang jual RM6.50 itu masih dalam garis harga berpatutan, tiba-tiba musim perasaan harga itu naik sampai RM9, sedangkan kos pengeluaran tidak naik, peniaga sengaja menggunakan alasan permintaan tinggi untuk menaikan harga.

Bahan mentah ini tidak tahan lama, maka bila orang tidak beli, berlaku lambakan barangan , maka peniaga akan akur dam kurangkan harga.

Sehubungan itu pengguna perlu berani bertindak, jangan beli jika harga itu diluar daripada harga berpatutan. Kita perlu berkorban untuk kepentingan kita dimasa akan datang kerana dikemudian hari peniaga tidak akan mudah ambil kesempatan.

SINAR HARIAN: Akibat kenaikan harga ini siapa yang paling terkesan?

MUHAMMAD SHA’ANI: Orang yang makan gaji yang paling terkesan. Sebab mereka ada had pendapatan bulanan.

SINAR HARIAN: Apakah nasihat Fomca kepada pengguna dalam berdepan dengan banyak kenaikan di tahun 2014 ini?

MUHAMMAD SHA’ANI: Semua di tangan pengguna. Pengguna perlu bijak buat pilihan, buat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum beli. Kerajaan juga perlu main peranan supaya  tidak melakukan pembaziran kerana rakyat kini semakin bijak.