THE MALAYIAN INSIDER
DAP menyifatkan MCA tidak mempunyai hak moral untuk mengkritik pendekatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengendalikan cara Persatuan Bible Malaysia (PBM) diserbu.
Ini kerana MCA adalah pihak yang bersama-sama dengan Umno di dalam Dewan Negeri Selangor meluluskan Enakmen 1988 Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan penyebaran ke atas Muslim) yang diguna untuk menyerbu PBM.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, MCA tidak mempunyai hak moral langsung untuk mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang mencuba sedaya upada untuk menyelesaikan masalah berbangkit daripada tindakan MCA yang menyokong enakmen itu pada 1988.
Melalui enakmen 1988 itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu PBM dan merampas lebih 300 Bible berbahasa Malaysia Alkitab dan Bup Kudus dalam bahasa Iban yang mengandungi perkataan Allah.
“Lebih teruk lagi, MCA bersama Umno ketika itu meluluskan Seksyen 11 dan 12 dalam enakmen sama yang memberikan kuasa kepada "pegawai berautoriti" untuk merampas sebarang bukti berkaitan dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang disyaki melakukan kesalahan itu," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
Pada 3 Januari lalu, sekumpulan penguatkuasa Jais dengan diiringi dua anggota polis menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim.
Mereka merampas lebih 300 naskah Bible dan Bup Kudus manakala dua ahli PBM dibawa ke Balai Polis Damansara.
Jais berkata, mereka bertindak mengikut Enakmen 1988 Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan penyebaran ke atas Muslim).
Sehubungan itu, MCA mengutuk tindakan Jais dan mempertikaikan cara kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid dalam mengendalikan kes itu.
Sultan Selangor sebelum ini mengeluarkan perintah yang melarang orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah.
Bagaimanapun, pakar perlembagaan, Dr Aziz Bari berkata, sebarang perintah atau fatwa daripada Sultan mengenai agama tidak boleh dilaksanakan ke atas bukan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan