Sabtu, 4 Januari 2014

Bayi sudah meninggal ketika diambil di taska

 

KL TODAY

Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia secara misteri di sebuah taska di Desa Pinggiran Putra, dekat sini, dan lebih menyayat hati kematiannya hanya disedari ibu bapa yang mengambil jam 2.15 petang, semalam.Bayi malang itu, Azeem Rifhan dipercayai sudah sejuk dan kaku ketika diserahkan kepada ibunya, Rossmaine Sulaiman, 38, dan pengasuh mendakwa tidak tahu bagaimana keadaan itu berlaku kerana menyangka bayi itu nyenyak tidur.

Melihat keadaan anak kelimanya yang sudah mengeras dan biru, Rossmaine terus membawanya ke Hospital Putrajaya (HPj) untuk rawatan lanjut, malangnya bayi itu gagal diselamatkan walaupun sudah diberi bantuan pernafasan (CPR) lebih satu jam oleh doktor bertugas.

“Saya menghantar Azeem jam 7.15 pagi sebelum keluar bertugas sebagai jururawat di HPj, selesai bertugas saya dan suami terus ke taska untuk mengambil anak, ketika mengambil dari tangan pengasuh saya terkejut apabila merasakan tangan Azeem mengeras dan tiada tindak balas, manakala tubuhnya sejuk,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HPj, di sini, lewat petang semalam.

“Ketika ditanya kepada kakitangan taska apa yang terjadi pada Azeem mereka hanya menjawab tidak tahu kenapa bayi tidak bergerak, menyebabkan saya terus membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HPj, di sini, lewat petang semalam.


Doktor mengesahkan Azeem sudah meninggal dunia antara jam 11 hingga 12 tengah hari tanpa disedari pengasuh.

Difahamkan, kematian bayi malang itu bukan disebabkan tersedak susu kerana pemeriksaan mendapati susu atau cecair yang berada di dalam kerongkong bayi itu sangat sedikit.

“Segalanya berlaku dengan pantas. Bayangkan, saya menghantar anak ke taska dalam keadaan sihat tapi saya hanya membawa pulang tubuhnya yang sudah mengeras dan kaku,” katanya.


“Saya menangis hingga lembik kerana tidak menyangka Azeem pergi begitu cepat. Baru semalam dia bergelak ketawa ketika bermain bersama abang-abangnya, pemergiannya pasti akan dirindui,” katanya sebak.


Rossmaine berkata, dia cuba menghubungi pemilik taska berkali-kali namun taliannya dimatikan, sebelum suami pemilik taska itu menghubungi bagi bertanya dengan lebih lanjut. “Suami kepada pemilik taska berjanji untuk datang ke sini (hospital) tapi sampai sekarang (malam tadi) kelibatnya belum muncul”, katanya.


Menurutnya, dia amat kesal dengan kejadian yang menimpa anaknya kerana pihak taska seolah-olah lepas tangan dan tidak mengambil berat terhadap anak-anak yang dijaga mereka hingga langsung tidak menyedari kematian bayinya.


Lebih menyedihkan, katanya hanya dua pengasuh yang bekerja di situ untuk menjaga puluhan bayi dan kanak-kanak.


Dia berkata, suaminya sudah membuat laporan di Balai Polis Dengkil, petang semalam.

Menurutnya, bayi berkenaan disembahyang dan dikafankan di HPj sebelum jenazahnya dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan.


Sementara itu pemangku Ketua Polis Daerah Sepang Deputi Superintenden Zaldino Zaludin ketika dihubungi mengesahkan kematian mangsa tiada unsur jenayah.

Tiada ulasan: