Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan, Profesor Mohd Noor Deris berkata, Abdul Hadi wajar ditahan dan diambil keterangan seandainya beliau sengaja tidak hadir setelah meminta untuk bersiaran langsung bagi menjelaskan isu yang hangat diperkatakan itu.
Saranan Mohd Noor itu adalah berikutan Abdul Hadi sendiri yang menetapkan syarat untuk berdialog selama satu jam secara langsung menerusi televisyen dan tindakan tegas itu perlu kerana tidak mahu kesungguhan kerajaan dilihat sebagai mainan oleh Pas dalam isu Amanat Haji Hadi itu.
“Saya melihat Pas ini sudah mencabar banyak perkara, ini bukan perkara main-main, jika tidak hadir juga paksa dia datang, sekiranya tidak mahu pihak berkuasa boleh menahan dia serta disiasat mengikut undang-undang yang ada.
“Amanat Haji Hadi ini adalah sesuatu yang boleh membawa mudarat jika ia tidak ditangani dengan baik dan Abdul Hadi itu sendiri perlu jelaskan perkara tersebut kerana ia mengganggu metodologi politik Islam,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menjemput tokoh agama dan mufti negeri bersama sesi siaran langsung Mohd Noor yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas menegaskan, ia satu cadangan baik.
Katanya, perbincangan melibatkan tokoh ulama akan memberi kesan yang besar kepada dunia menerusi kupasan secara jelas apatah lagi boleh menghilangkan kekeliruan didakwa berhubung kait dengan tuduhan kafir sesama Islam ini.
“Isu Amanat Haji Hadi ini adalah satu cabaran yang besar kepada negara dan pihak berkaitan tidak boleh berdiam diri kerana dakwaan pegangan ke arah memesongkan ini boleh meracuni maruah, agama, keturunan, ekonomi serta minda,” katanya.
Sabtu lalu, Abdul Hadi meminta diberi peluang secara langsung selama satu jam untuk menjelaskan amanat yang dibuatnya pada tahun 1981 itu dan beliau bersedia bila-bila masa sahaja menghadirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan