Khamis, 17 Januari 2013

PKR teliti tindakan hina mahkamah ke atas Khairy

 
PKR sedang memantau kenyataan Khairy Jamaluddin sepanjang tempoh 24 jam. 

VIDEO INSIDE
 


PETALING JAYA: PKR tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ‘menghina mahkamah’ ke atas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ekoran kenyataan yang menafikan beliau menarik balik dakwaan berhubung kes saman fitnah oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selesai secara persetujuan bersama di luar mahkamah semalam.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik semalam dan pihaknya sedang memantau kenyataan Khairy sepanjang tempoh 24 jam tersebut.

Ujar Azmin, pihaknya akan meneliti secara mendalam kenyataan terbaru Khairy dan  mendapatkan nasihat peguam sebelum tindakan lanjut diambil.

“Tindakan Khairy yang berdolak dalik dengan persetujuan syarat penyelesaian yang di meterai  di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Geok Yiam pada Rabu  boleh dikira sebagai  menghina mahkamah.

“Kita akan teliti secara terperinci  kenyataan beliau (Khairy) dalam tempoh 24 jam mengenai isu ini. Kita juga akan mendapatkan nasihat peguam sama ada untuk memfailkan tindakan menghina mahkamah ke atas beliau,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Kes saman fitnah RM100 juta itu difailkan oleh Anwar terhadap Khairy pada 7 September 2007 ekoran kenyataan didakwa berunsur fitnah pada satu majlis politik di Kuala Kangsar yang disiar media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.

Bagaimanapun semalam, kes saman tersebut diselesaikan selepas mendapat persetujuan bersama  di luar mahkamah.

Azmin menjelaskan bahawa penyelesaian kes itu bukan atas dasar rundingan, memandangkan pihak mereka bersedia untuk perbicaraan penuh.

Isu kalimah, PKR konsisten

Sementara itu, ditanya mengenai isu kalimah Allah, Azmin berkata PKR konsisten dengan pendirian kolektif bersama dalam Pakatan Rakyat seperti yang dicapai dalam Mesyuarat Presiden pada 8 Januari lalu.

Beliau sebaliknya berkata pandangan Ahli Majlis Syura itu dihormati dan ia hanya digunapakai oleh ahli-ahli PAS sahaja.

“Isu ini bagi saya selesai. PAS-PKR konsisten dan tidak berubah seperti dalam mesyuarat Presiden pada 8 januari lalu. Pendirian kita tidak berubah.

“PKR berpegang dengan dasar kolektif dan terikat dengan polisi Pakatan,” katanya.

Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) pada 8 Januari lalu sepakat dan bersetuju bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ wajar diberikan untuk semua agama, dengan syarat ianya “tidak disalahgunakan.”

Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kalimah ‘Allah’ adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

Bagaimanapun, Majlis Syura PAS dalam mesyuaratnya Ahad lalu memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Tiada ulasan: