PETALING JAYA : PKR akan menggerakkan kempen ‘Potong Gaji Rozali Ismail’ atas kegagalan beliau menguruskan Syabas hingga menimbulkan kesusahan kepada rakyat, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.
“Pasukan peguam ini akan diketuai oleh Latheefa Koya dan tindakan menyaman Syabas ini diputuskan setelah mengambil kira beberapa aspek. Kita dapati masalah air di Selangor adalah sabotaj politik yang akhirnya membebankan rakyat.
“Kita juga akan melancarkan kempen untuk mendesak gaji Pengerusi Eksekutif Syabas(Tan Sri Rozali Ismail) dipotong sebanyak RM10 juta daripada pakej gaji sebanyak RM17.25 juta setahun yang diterima.
“Potongan itu kemudiannya akan disumbangkan ke satu tabung khas untuk memberi pampasan kepada penduduk yang terlibat. Kempen itu akan diadakan di hadapan ibu pejabat Syabas di Shah Alam, Rabu depan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.
Tambahnya, alasan Syabas yang cuba mempolitikkan isu air dengan mendakwa bekalan air terawat tidak mencukupi dan menuding jari sepenuhnya Kerajaan Negeri Selangor disifatkan tidak masuk akal apabila Syabas sebenarnya mampu mendapatkan bekalan air yang dihantar melalui lori.
Dalam pada itu, Rafizi turut mendakwa, ia adalah permainan politik Umno-BN dengan mensabotaj bekalan air di Selangor untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).
Justeru, PKR akan melaksanakan beberapa langkah untuk berdepan sabotaj politik itu, antaranya mengeluarkan belanja sendiri bagi membeli pam-pam air untuk dibekalkan ke kawasan yang diperlukan.
“Selain itu, kita juga akan mengadakan rundingan bersama pihak Syabas dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapat komitmen supaya bekalan air melalui lori-lori yang dihantar adalah mencukupi dan mengikut jadual yang tetap.
“Satu kumpulan pakar yang pernah terlibat secara merancang dan membangunkan sistem air di Lembah Klang akan ditubuhkan secara sukarela untuk mengkaji aspek teknikal dan menjawab tuduhan Syabas serta mengadakan kempen penerangan di kawasan terbabit untuk memaklumkan kepada penduduk bahawa dalang sebenar adalah Umno-BN,” katanya lagi.
PKR juga akan menubuhkan sebuah pasukan peguam untuk menyaman Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad dalam masa terdekat atas kegagalan syarikat itu membekalkan kualiti air terbaik kepada pengguna seperti yang dijanjikan.
PKR akan mengumpul seberapa ramai penduduk, peniaga dan pihak yang ingin menuntut pampasan dari Syabas dan Puncak Niaga untuk turut bersama dengan tindakan saman ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan