Oleh: Sidiqin Omar
PETALING JAYA : KEADILAN akan menubuhkan pasukan peguam untuk menyaman Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga Holdings Berhad atas kegagalan menguruskan khidmat air seperti dalam konsesi, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
“Mulai hari ini, KEADILAN akan mengumpul seberapa ramai penduduk, peniaga dan pihak yang ingin menuntut pampasan dari Syabas dan Puncak Niaga untuk turut bersama dalam tindakan saman.
“Saman akan dikendalikan Biro Guaman & Undang-undang KEADILAN, (diketuai) peguam Latheefa Koya,” kata Rafizi pada sidang media ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Katanya tindakan diambil kerana penduduk di kawasan Pandan, Ampang dan Bandar Tun Razak terjejas teruk dengan masalah air yang berlarutan lebih dua minggu.
“KEADILAN juga akan menggerakkan ‘Kempen Potong Gaji Rozali’ atas kegagalan mengurus Syabas yang menyusahkan rakyat,” katanya.
Tambah Rafizi, Laporan Tahunan Puncak Niaga Holdings Berhad bagi tahun berahir 31 Disember 2011 menyatakan pengarah eksekutif Puncak Niaga menerima pakej gaji berjumlah RM 17.25 juta setahun.
“KEADILAN menuntut supaya RM10 juta dipotong dari gaji (Rozali) serta merta dan disumbangkan ke dalam tabung untuk memberi pampasan kepada penduduk yang terlibat dengan masalah air. Sepatutnya Tan Sri Rozali sendiri turun padang melihat kesusahan pengguna air,” kata Rafizi.
Beliau turut memberi amaran kemungkinan tindakan lebih drastik dibuat KEADILAN, termasuk mendedahkan jumlah pendapatan dan kekayaan pengarah eksekutif Syabas jika langkah penyelesaian tidak diambil.
“Itu ‘kepakaran’ kami. Kroni (Umno-BN) ini tak suka kehidupan peribadi mereka dibongkar. Saya (setakat ini) hanya diarahkan untuk melakukan ini (tindakan saman),” tegas Rafizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan