Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli
berkata, kerajaan tetap berdolak-dalik melaksanakan sistem pendidikan
percuma walaupun hak itu dituntut sendiri oleh mahasiswa di universiti.
Katanya, rakaman video ‘listen’ bukti tindak balas pemimpin Umno menafikan pendidikan percuma adalah hak rakyat.
“Bermula
dari awal Pakatan Rakyat perkenalkan kaedah pelaksanaan pendidikan
percuma, pemimpin Umno BN tidak pernah dapat menjawab angka yang kita
beri. Kini kehadiran video dan cara Sharifah Zohra respon terhadap hujah
Bawani membuktikannya,” kata Rafizi ketika dihubungi.
“Hujah dan angka-angka Bawani membuatkan rakyat semakin sedar serta
percaya bahawa sistem pendidikan percuma memang boleh dilaksanakan,”
sambungnya.
Isu ini meletup selepas klip video berdurasi 24 minit yang dirakam
dalam sebuah forum suara mahasiswa anjuran Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) memaparkan panelis, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah
Miskin menegur dan enggan memberi ruang kepada KS Bawani memberikan
pandangan.
Syarifah Zohrah adalah Timbalan Ketua Wanita Kongress Indian Muslim Malaysia (Kimma), komponen baru dalam BN.
Terpalit dengan isu ini, Presiden Kimma, Senator Datuk Syed Ibrahim
Kader semalam menafikan Syarifah bukan lagi ahli kongres itu, dan
berkata, beliau sukar dikawal.
Dalam forum tersebut, Bawani memberikan pandangan mengenai Bersih dan penerajunya, Datuk S Ambiga dan Datuk A Samad Said.
Beliau turut menegaskan kepada penganjur bahawa negara mampu menawarkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti.
Pelajar tahun dua jurusan undang-undang itu mempersoal mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian, diikuti tepukan penonton.
Ketika Bawani sedang bercakap, Sharifah turun dari pentas dan berdiri
di depannya. Bawani tidak mempedulikan tindakan Sharifah itu dan
meneruskan hujahnya.
Sharifah kemudian berkata ‘listen’ kira-kira 10 kali sebelum berkeras merampas mikrofon.
“Beliau sepatutnya menjawab hujah Bawani dengan baik dan berfakta.
Pemimpin BN dari yang tertinggi sampailah paling bawah gagal menjawab
isu tersebut,” kata Rafizi mengulas video berkenaan.
Jelas Rafizi, Pakatan Rakyat menegaskan pemansuhan Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seterusnya melaksanakan sistem
pendidikan percuma adalah antara 10 agenda utama dalam mereformasikan
hala tuju pendidikan negara.
“Pakatan melihat pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma sebagai
reformasi kepada aspek pendidikan negara. Apabila ada perubahan dalam
pendidikan, sekaligus ia akan menyumbang kepada penjanaan ekonomi di
pelbagai bidang lain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan