Ahad, 20 Januari 2013

Ini kali-lah akan berakhir sebuah rejim...



Oleh Lanh

KETIKA duduk bersesak-sesak bersama puluhan ribu hadirin di pangkin Stadium Merdeka pada hari Perhimpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari lalu, fikiran saya jauh melayang mengenangkan pengalaman saya pada suatu hari kira-kira 20 tahun lalu (pada April 1994) menyaksikan kebangkitan rakyat Afrika Selatan yang berhimpun di Stadium First National Bank (FNB) di Soweto, sebuah perbandaran kulit hitam terbesar tidak jauh dari Johannesburg. 


Perhimpunan 100,000 rakyat bagi mendengar amanat pejuang Nelson Mandela di stadium itu adalah sebahagian acara menjelang pilihan raya pelbagai kaum pertama yang bersejarah kerana ia menamatkan dasar aparteid selama berabad-abad di Afrika Selatan. Ya, saya dapat rasakan ada ciri-ciri persamaan antara apa yang saya saksi dan rasakan di Stadium Merdeka dan FNB Soweto!

Pengalaman saya di Stadium FNB ada dicatatkan dalam buku saya ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ yang kemudian diterbitkan semula dan diubah tajuk kepada ‘Travelog Wartawan Islam’ oleh penerbit Kemilau Publika.

Dalam bab ‘Di Afrika Selatan’ antara lain saya mencatatkan: “Terhimpit di celah-celah ribuan orang ramai itu (ya, ada persamaannya dengan 'terhimpitnya' saya di ‘tangga kambing’ Stadium Merdeka) adalah saya – seorang wartawan kerdil dari Malaysia, negara yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya. Saya membayangkan sambutan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Ketika itu saya belum lahir lagi. Saya mencongak tentulah suasana meriah itu sama seperti yang berlaku di Stadium FNB itu.

“Kami menyertai ribuan penyokong memasuki stadium ini pada sebelah pagi – menunggu ketibaan Mandela pada waktu petang. Suasana dalam stadium begitu gamat. Laungan ‘Viva ANC’ (Kongres Kebangsaan Afrika pimpinan Mandela) dan ‘Viva Mandela’ memekakkan telinga.

“Orang kulit hitam Afrika Selatan kelihatan begitu bersemangat, daripada wajah mereka terbayang masa depan gemilang di bawah sebuah kerajaan baru...Seperti diketahui umum, ANC memenangi pilihan raya itu dengan lebih 60 peratus undi, sekali gus membolehkan Mandela menjadi orang hitam pertama sebagai Presiden Afrika Selatan...”

Pilihan raya bersejarah Afrika Selatan itu membawa pengakhiran kuasa sebuah rejim – Parti Kebangsaan (NP) pimpinan presiden kulit putih terakhir, FW de Klerk. Rejim aparteid ini akhirnya tersungkur dengan jutaan rakyat memangkah parti ANC dalam pilihan raya, memberi kemenangan kepada Mandela yang sebelum itu terpenjara dalam buangan di Pulau Robbins selama berpuluh-puluh tahun lamanya.
Tanggal 12 Januari lalu juga menyaksikan kebangkitan rakyat, di dalam stadium saya anggarkan ada sekurang-kurangnya 50,000 orang manakala di luar puluhan ribu lagi. Antara lain mereka menuntut sebuah pilihan raya bersih dan adil.

Pada pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan yang saya ditugaskan membuat liputan 20 tahun lalu, pengendalinya adalah Suruhanjaya Pillihan Raya Bebas (IEC) yang mengundang ratusan badan pemerhati dan pemantau serta individu antarabangsa. Dari Malaysia, saya ketemui pemantau Tan Sri Ghazali Shafie (bekas Menteri Luar yang kini allahyarham) dan Zainah Anwar (saya tak pasti pihak diwakili tokoh daripada Sisters in Islam ini).

Pilihan raya bebas dan adil menyaksikan kebangkitan ANC yang sebelumnya diharamkan dan pemimpinnya dihumban ke dalam penjara. Menjelang pilihan raya pada 27 April 1994, IEC memastikan ketelusan perjalanan pilihan raya termasuk mengamanahkan tugas pemantau kepada tokoh seperti Ghazali dan Zainah. Malah, wartawan kerdil seperti saya juga berpeluang menyaksikan hari-hari dan detik bersejarah Afrika Selatan itu.

Demikianlah antara lain saya membuat catatan dari Stadium FNB Soweto pada suatu hari dalam bulan April 1994. Tanggal 12 Januari 2013, alangkah hampir sama suasananya – saya menyaksikan wajah-wajah bersemangat rakyat yang terlalu rindukan kedamaian, keadilan dan segala yang baik-baik di negara tercinta ini.

Sekalipun menang, ANC gagal mendapat majoriti dua pertiga menyebabkan ia terpaksa bekerjasama dengan NP dan Parti Pembebasan Inkatha (IFP) bagi membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan Kebangsaan dengan Mandela sebagai Presiden.

Tercatatlah sejarah bagaimana parti-parti yang sangat berbeza ideologinya (ANC, NP dan IFP) menyampaikan cita-cita membentuk sebuah kerajaan baru Afrika Selatan. Amat jelas Mandela bukanlah seorang yang gila kuasa, selepas sepenggal memerintah, beliau melepaskan kepimpinan ANC kepada Thabo Mbeki yang kemudian menjadi Presiden Afrika Selatan pada 1999.

Jika ANC, NP dan IFP dapat menjayakan cita-cita besar rakyat Afrika Selatan yang menghadapi dugaan lebih berat daripada rakyat Malaysia, tidak ada sebab untuk PAS, DAP dan KeADILan tidak dapat berkorban (bertolak ansur) dalam membina sebuah ‘Malaysia Baru’ demi kepentingan dan masa depan rakyat yang merintih didera puluhan tahun lamanya. Rakyat terlalu rindukan ‘kemerdekaan kedua’ seperti diucapkan salah seorang pemimpin Pakatan! Ya, INI KALI-LAH untuk rakyat membenamkan Umno-BN seperti dilakukan rakyat Afrika Selatan yang mengakhiri sebuah rejim aparteid 20 tahun lalu!

Tiada ulasan: