Isnin, 21 Januari 2013

Harussani sokong Majlis Syura

Wartawan Sinar Harian

Harussani Zakaria
Harussani Zakaria
 
SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyokong tindakan Majlis Syura Pas untuk tidak menarik balik keputusan berhubung isu kalimah ALLAH.

Menurutnya, perkara yang melibatkan akidah tidak perlu dibincangkan dan ketegasan yang ditunjukkan adalah perkara yang wajar dicontohi.

"Isu akidah itu sensitif, bukan seperti akhlak yang boleh diperdebatkan atau ditukar mengikut pendirian sendiri.

"Sudah banyak kali saya tekankan perkara ini. Jangan sesekali campurkan isu agama dengan politik," katanya.

Katanya, pendirian Majlis Syura Pas menunjukkan perihal agama Islam tidak ada tolak ansur.

"Kita sendiri pun tidak boleh membawa kalimah ALLAH ini ke dalam tandas, bagaimana pula ia boleh dibawa masuk ke tokong atau gereja?

"Kalimah agung ini juga tidak boleh diletak di bawah kaki dan (mesti) sentiasa berada di atas. Jadi Majlis Syura Pas telah menjalankan kerja mereka dengan baik sekali," katanya.

Harussani berharap tidak ada lagi mana-mana parti politik mempersoalkan perkara berkaitan akidah ini.

"Saya dapati, DAP seperti mahu memecahbelahkan umat Islam di negara ini. Kerana itu, ketegasan seperti yang dilakukan (oleh Majlis Syura) ini amat penting supaya agama Islam tidak diperlekehkan," katanya.

Tiada ulasan: