Shahbudin Husin
Belum
pun sempat Najib menjawab pelbagai persoalan yang dilemparkan
kepadanya berhubung urusniaga yang dipaksakan antara LTAT dengan Deepak
dan Raja Ropeah serta kaitan dengan isterinya Rosmah Mansor, tiba-tiba
sebutir bom lagi digugurkan untuk menggegarkan atmosfera politik
negara.
Kali
ini merupakan pendedahan oleh Rafizi Ramli melalui sumber yang
dipercayai dekat dengan Deepak, tentang bagaimana peniaga karpet itu
didakwa telah membayar sebanyak RM13 juta untuk barangan kemas, cincin
dan batu permata untuk isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.
Yang lebih
menakjubkan, pendedahan yang turut disertakan dengan bukti invois dan
resit bayaran, ialah pembelian semua barang kemas sebanyak RM13 juta
itu hanya untuk tempoh 3 bulan sahaja.
Hebat!
Malaysia Boleh! dan satu lagi bukti isteri pemimpin kita juga boleh
menyamai kehebatan isteri-isteri pemimpin dunia yang pernah menjadi
mainan bibir antarabangsa sebelum ini seperti Imelda Marcos, Laila Ben
Ali, Suzanne Hosni Mubarak dan seumpamanya.
Meskipun
Najib dilihat cuba menyelesaikan kemelut Deepak-Rosmah-Raja Ropeah
dengan membawa masuk tabung wang pencen askar iaitu LTAT untuk membeli
syarikat Deepak dengan bayaran RM30 juta iaitu jumlah kos yang telah
dikeluarkannya sebelum ini, kemarahan Deepak nyata masih membara.
Beliau
tidak saja mengeluarkan buku mengenai penglibatannya dalam akaun
bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramanian bertajuk Black
Rose yang mengaitkan Najib dan Rosmah didalamnya, pendedahan mengenai
pembelian barang kemas RM13 juta ini seperti memberi isyarat bahawa
Deepak tidak akan berhenti setakat ini sahaja.
Dipercayai
lebih banyak pendedahan beserta bukti-bukti mengenai Rosmah dan Najib
akan didedahkannya lagi selepas ini. Dengan tempoh edah kerajaan yang
ada sekarang akan berakhir pada 28 April 2013 dan pilihanraya umum
mesti diadakan sebelum tempoh itu, UMNO dan BN akan terus kelemasan
jika satu demi satu bom lagi digugurkan oleh Deepak selepas ini.
Dengan
menyerang Rosmah, imej dan kredebiliti Najiblah yang paling terjejas
dimata umum. Rosmah bukan saja dilihat seorang isteri yang menyusahkan
suaminya tetapi juga membebankan UMNO, BN dan kerajaan.
Beliau
amat berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini. Watak
dan perlakuannya amat bertentangan dengan Toh Puan Rahah, Toh Puan
Suhaila, Tun Siti Hasmah, Tun Endan dan Tun Jeanne yang amat disenangi
rakyat dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang
bertentangan dengan kebiasaan serta kewajaran sebagai isteri seorang
Perdana Menteri.
Sepanjang
menjadi Perdana Menteri, Najib sentiasa dibebankan dengan pelbagai
pendedahan mengenai Rosmah yang menjadi isterinya lebih 20 tahun lalu
iaitu selepas Najib menceraikan isteri pertamanya, Tengku Puteri Zainah
Iskandar. Dari keghairahan suka berbelanja mewah, longgokan beg
tangan, cincin, timbunan pakaian mahal, mengadakan lawatan ke luar
negara menggunakan kemudahan jet kerajaan, kemaruk dengan gelaran First
Lady sehinggalah kepada suka menunjuk seolah-olah sama berkuasa macam
Perdana Menteri, semuanya menjadi bahan percakapan dan sekaligus beban
kepada Najib.
Dari masyarakat kelas atasan yang tinggal di Bukit Damansara hinggalah ke budak-budak sekolah rendah di ceruk setinggan, perbualan mereka jarang terlepas daripada topik mengenai Rosmah. Ada saja bahan tidak manis yang menjadi bahan perbualan mengenai Rosmah yang sampai ke telinga mereka dan kemudian dijadikan bahan bualan.
Dari masyarakat kelas atasan yang tinggal di Bukit Damansara hinggalah ke budak-budak sekolah rendah di ceruk setinggan, perbualan mereka jarang terlepas daripada topik mengenai Rosmah. Ada saja bahan tidak manis yang menjadi bahan perbualan mengenai Rosmah yang sampai ke telinga mereka dan kemudian dijadikan bahan bualan.
Dengan
pelbagai pendedahan mengenai perilaku Rosmah selama ini, dan yang
terbaru mengenai pembelian barang kemas RM13 juta yang bayarannya
dibuat oleh Deepak, dan mungkin lebih banyak lagi selepas ini, Rosmah
kini sudah menjadi beban berat bagi Najib. Najib tidak mungkin berupaya
menghadapi pilihanraya umum akan datang dengan selesa selagi beban itu
ada disisinya.
Sudahlah
beliau sendiri terpalit dengan pelbagai isu, menteri-menteri kabinet
juga ramai yang terdedah tembelang masing-masing dengan pelbagai
skandal, pendedahan mengenai Rosmah tentunya menambahkan lagi serabut
di kepalanya. Ketika suaminya berserabut, Rosmah sepatutnya menjadi
pendamping yang mampu membawa ketenangan kepada jiwa suaminya.
Sebaliknya kehadiran Rosmah sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri, hanya menjadi beban dan juga kebencian rakyat.
Ramai
pemimpin UMNO sendiri yang geleng kepala dengan perangai Rosmah ini.
Mereka sendiri tidak yakin UMNO mampu melawan arus penolakan rakyat
berikutan satu demi satu karenah yang ditunjukkan oleh Rosmah selama
ini.
Mereka
percaya halangan terbesar Najib untuk mencapai kemenangan dalam
pilihanraya umum nanti adalah kerana adanya Rosmah seperti wataknya yang
ada sekarang. Sekiranya Rosmah mempunyai watak seperti Toh Puan Rahah,
Toh Puan Suhaila, Siti Hasmah, arwah Endon atau Tun Jeanne, mereka
percaya Najib akan mampu muncul sebagai pemimpin yang baik dan disegani
ramai.
Dengan
hadirnya Rosmah bersama karenahnya itu, rakyat turut menolak Najib.
Najib turut dipersoalkan kerana tidak berani menegur atau menasihati
isterinya. Rakyat bimbang jika Najib terus diberi sokongan dan
memenangi pilihanraya akan datang, karenah Rosmah akan lebih
menjadi-jadi dan tidak terkawal lagi.
Dengan
kerajaan yang rapuh dan masih menumpang mandat yang diperolehi daripada
Pak Lah pada 2008 pun, Rosmah sarat dengan pelbagai isu, apatah lagi
jika kemenangan selesa diperolehi selepas pilihanraya umum nanti.
Sebab itu,
oleh kerana piliharaya mesti diadakan sebelum 28 April ini, harapan
Najib untuk memperbaiki keadaan dan membetulkan persepsi rakyat
mengenai dirinya, kepimpinannya, masalah yang diwujudkan isterinya dan
seterusnya mencipta kejayaan buat UMNO dan BN, sebenarnya sudah hampir
tertutup. Jalan di hadapannya adalah jalan mati. Menunggunya hanyalah
gaung yang dalam.
Untuk
memberi sedikit nafas dan kekuatan kepada UMNO dan BN, Najib semestinya
berundur. Hanya itu pilihan yang ada. Najib mesti melakukan
pengorbanan jika tidak mahu UMNO dan BN dikorbankan oleh rakyat melalui
peti undi. Topik Najib dan Rosmah kini sudah mendominasi isu-isu yang
membebankan UMNO dan BN.
Najib
mesti memberi ruang masa dan tempoh yang ada beberapa bulan ini untuk
timbalannya, Muhyiddin mengambil alih baton kepimpinan UMNO dan
kerajaan dan mengemudi jentera menghadapi PRU 13 nanti. Dengan perubahan
kepimpinan, persepsi rakyat juga akan turut berubah.
Muhyiddin
juga tidak terlalu banyak pekung seperti Najib. Isterinya juga
mempunyai watak yang lebih disenangi rakyat berbanding Rosmah. Meskipun
belum pasti mampu mencipta kejayaan gemilang, peluang Muhyiddin lebih
cerah berbanding jika UMNO dan BN terus dipimpin Najib dan diselubungi
awan mendung ciptaan Rosmah.
Hanya pengunduran Najib satu-satunya peluang yang ada bagi UMNO dan BN memperbaiki kedudukannya.
Penulis
pernah menjadi
wartawan beberapa akhbar di tahun
80an dan 90an, pernah juga
berkhidmat di MARA. Pada tahun
1996-2000 menjadi Setiausaha Biro
Ekonomi dan Pembangunan Usahawan,
Pemuda Umno Malaysia dan
2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda
dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju.
Telah menghasilkan dua buah buku
politik bertajuk Najib PM
Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan
Najib.Beliau memiliki laman blog di
shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan