Jumaat, 4 Mei 2012

Wartawan desak polis pulang peralatan, bayar ganti rugi

Oleh Masdar Wahid


BANGSAR : Sekumpulan wartawan mendesak polis memulangkan peralatan mereka yang dirampas tanpa sebarang kerosakan semasa membuat liputan himpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Dalam perhimpunan kira-kira jam 12 tengah hari tadi di hadapan pejabat Malaysiakini dekat sini, mereka turut mendesak setiap kerosakan atau kehilangan peralatan media serta kecederaan yang dialami diganti atau dibayar dengan setimpal.

“Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diiktiraf Unesco hari ini disambut serentak pengamal media seluruh dunia, namun ia juga hari hitam di Malaysia kerana serangan terhadap pengamal media yang membuat liputan himpunan Bersih 3.0.

“Pengamal media diserang, ditahan dan ditakut-takutkan polis semasa himpunan itu dan ini perlu dihenti bagi mengelak piawaian kebebasan media Malaysia jatuh ke paras lebih rendah,” kata Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar dalam satu kenyataan sempena Hari Kebebasan Media hari ini.

Percaya dengan kebebasan media dan peranan organisasi itu mempromosi demokrasi, hak asasi manusia, ketelusan dan tadbir urus yang baik, mereka juga mendesak semua pihak khasnya pihak berkuasa menghormati hak wartawan semasa bertugas.

“Kami juga menggesa semua pihak termasuk kerajaan, pihak berkuasa dan masyarakat sivil tidak mengulangi serangan terhadap wartawan,” tegas beliau.

Hampir 100 pengamal media dari pelbagai organisasi berpakaian hitam tanda gelapnya kebebasan media di Malaysia berkumpul dan memakai riben kuning mewakili kebebasan media di negara ini.

“‘Henti-henti, henti kezaliman, bebas, bebas, bebas media’,” kata Editor Suara Keadilan, Fazallah Pit diikuti lain-lain peserta.

Himpunan aman yang berlangsung kira-kira 30 minit itu menarik perhatian ramai dengan kenderaan yang lalu membunyikan hon sebagai tanda sokongan terhadap desakan kebebasan media di Malaysia bersama puluhan polis membuat pemantauan.

Tuntutan mereka turut disuarakan melalui poster, plakad dan ucapan berbunyi ‘Hands Off Journalist at Work’ (jangan ganggu, wartawan sedang bertugas), ‘Stop Violence Against Journalist’ (hentikan keganasan terhadap polis), ‘You Have Guns, We Have Cameras’ (kamu ada pistol, kami ada kamera) dan ‘We Are Armed with Mighty Pen’ bagi menyuarakan bantahan.

Tiada ulasan: