SINAR HARIAN
Sehubungan itu kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar, SPR akan sedaya-upaya untuk tidak membabitkan pihak ketiga di dalam proses berkenaan.
Antara cadangan awal SPR ialah petugas media terbabit datang sendiri mengambil kertas undi di pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya di tempat mereka didaftarkan dan mengundi di situ, katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di sini.
Beliau berkata mereka boleh berbuat demikian sepanjang tempoh berkempen yang telah diputuskan SPR tidak kurang daripada 10 hari.
Walau di mana petugas media ditempatkan majikan masing-masing, mereka masih boleh balik ke kawasan masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab itu kerana tempoh berkempen agak lama, katanya.
Kebenaran mengundi pos bagi petugas media adalah antara 22 syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang dipersetujui SPR untuk dilaksanakan.
Kemudahan untuk mengundi pos itu adalah mengikut subperaturan 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata SPR bagaimanapun bersedia memberi pencualian kepada petugas media yang ditempatkan terlalu jauh dari kawasan mereka didaftarkan seperti Sabah dan Sarawak.
Mengenai proses tersebut, Wan Ahmad berkata petugas media yang layak harus memohon untuk menjadi pengundi pos daripada RO masing-masing terlebih dahulu, dan permohonan perlu disokong majikan masing-masing.
"Borang itu nanti boleh dimuat turun daripada laman web rasmi SPR sebaik pengumuman mengenainya dibuat SPR, termasuk tarikh akhir penghantaran borang," katanya sambil menegaskan tidak semua petugas media layak untuk mendapat status pengundi pos.
Antara yang perlu dilengkapkan ialah alamat di mana mereka didaftarkan sebagai pemilih dan tempat mereka ditugaskan ketika pilihan raya.
"Apabila permohonan sebagai pengundi pos telah diluluskan maka nama petugas media sebagai pengundi biasa akan dipotong," katanya.
Beliau juga meminta majikan memuktamadkan kawasan petugas mereka ditempatkan kerana sebarang perubahan pada saat akhir tidak akan dilayan SPR sebaik sahaja permohonan pengundi pos diluluskan.
Ditanya mengenai rasional petugas media masih perlu kembali ke kawasan mengundi masing-masing untuk membuang undi, Wan Ahmad berkata SPR tidak mahu ada pihak mempolitikkan perkara itu jika kertas undi dihantar ke kawasan petugas media ditempatkan.
SPR tidak mahu kelak ada dakwaaan kertas undi hilang jika perkara itu dilaksana kerana amalan SPR ialah menghantar terus kertas undi ke pejabat RO di kawasan pengundi didaftarkan.
Jika mahu perkara tersebut dilaksana, pejabat RO terbabit perlu menghantar kertas undi berkenaan ke pejabat RO di mana petugas media itu ditempatkan, dan ini membuka ruang kepada spekulasi serta pelbagai tuduhan liar kepada SPR, katanya.
Bagaimanapun kata Wan Ahmad semua itu masih di peringkat cadangan, dan SPR bersedia menerima maklum balas bagi memastikan pelaksanaan undi pos bagi petugas media berjalan lancar serta memudahkan semua pihak. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan