Isnin, 21 Mei 2012

SPR: Kangkung, Timun Adalah Pengundi Sah



 
 
Seorang lelaki melayari laman daftar pemilih. Golongan pengkritik mempersendakan nama-nama pelik yang dipaparkan dalam daftar pemilih berkenaan. 
 
 
PORT DICKSON: Mereka yang memiliki nama-nama 'unik' membuatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pening kepala dengan para pengkritik yang mempertikaikan kewujudan golongan tersebut.

Namun, SPR berkata, rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuktikan bahawa mereka adalah pengundi yang sah.

Para pengkritik suruhanjaya itu membuat jenaka terhadap nama-nama haiwan, sayur-sayuran dan individu terkemuka yang masih hidup atau meninggal dunia dalam kalangan daftar pemilih seramai 12.8 juta pengundi.

Mereka turut bertanya mengapa wujud pengundi dengan nama seperti Timun, Kangkung, Harimau dan Kuda dalam daftar pemilih.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mereka yang memiliki nama unik yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak adalah pengundi sah.

Katanya, adalah tidak adil bagi SPR dituduh sengaja mereka nama-nama tersebut dan mendaftarkan pengundi-pengundi yang tidak wujud.

"Agak hairan bahawa pengkritik masih tidak memahami perkara ini yang berada diluar kawalan kami.

"Kami mempunyai pengundi yang memiliki nama seperti Elvis Presley, Reagan dan A.Ramlie bin Jefridin dalam daftar pemilih. Namun, kesemuanya wujud dan merupakan rakyat Malaysia," katanya. (A.Ramli dan Jefri Din merupakan penyanyi terkemuka negara pada 1960)

Abdul Aziz berkata, terdapat pengundi dengan nama seperti Atas Jalan, Tepi Jalan, Machine Gun dan Boeing.

"Selagi butiran tarikh lahir mereka sama dengan rekod JPN, kami tidak boleh mempertikaikan status mereka dan mesti mendaftarkan mereka sebagai pengundi," katanya.

Beliau berkata, SPR terus menerima kritikan berhubung perkara yang diluar kawalan mereka walaupun pelbagai usaha dilakukan pegawai-pegawai untuk memastikan daftar pemilih bersih dan dikemas kini.

Katanya, daftar pemilih mempunyai kira-kira 15,000 pengundi yang nombor kad pengenalan mereka tidak selari dengan jantina seperti ditetapkan JPN.

Bagi jantina lelaki, nombor terakhir dalam 12 digit kad pengenalan merupakan nombor ganjil manakala perempuan pula adalah nombor genap.

"Jika berlaku campur aduk, kami tidak boleh katakan bahawa mereka tidak boleh didaftarkan sebagai pengundi kerana JPN mempunyai rekod mengenai kewujudan mereka.

"Mungkin berlaku kesilapan apabila MyKad diserahkan kepada mereka," katanya.

Abdul Aziz berkata, mereka juga sering dilontarkan dengan pertanyaan mengenai kewujudan pengundi yang memiliki nama serupa dan lahir pada tarikh dan negeri yang sama.

"Perbezaan hanya empat digit terakhir dalam nombor kad pengenalan mereka. Apabila kami mengenal pasti kes ini dengan JPN, kami mendapati mereka didaftarkan pada sejak lahir dan masih hidup," katanya.

Menurut beliau, terdapat beberapa soalan dibangkitkan mengenai kewujudan pengundi yang berusia lebih 100 tahun dalam daftar pemilih walaupun rekod SPR menunjukkan kira-kira 1,000 pengundi bagi golongan tersebut.


"Kami terus mengesahkan maklumat-maklumat tersebut dengan agensi berkaitan. Kami tidak boleh memadam nama-nama pengundi walaupun mereka sudah mencecah usia 100 tahun.
Abdul Aziz berkata, kira-kira 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih walaupun pelbagai kempen dilakukan untuk menggalakkan mereka berbuat demikian.

Tiada ulasan: