Khamis, 3 Mei 2012

PKR Gesa ADUN Permatang Batalkan Konsesi Asrama Kuis Bernilai RM508 Juta

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Umno meminta Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Sulaiman Abdul Razak membatalkan kontrak konsesi bernilai RM508 juta yang diberikan kerajaan negeri di bawah pimpinan Dr Mohamad Khir Toyo pada 2007 yang digunakan untuk mengendalikan asrama pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata Kuis tidak dapat mengurangkan yuran mereka masih terikat dengan konsesi berkenaan.

Rafizi berkata syarikat yang dikenali sebagai Rehda Resources Sdn Bhd (RRSB) dimiliki oleh Sulaiman telah diberikan kontrak untuk membina asrama yang menempatkan 6000 pelajar di Kuis pada 2007.

"Perjanjian yang dibuat oleh Khir Toyo itu memberi RRSB konsesi selama 33 tahun untuk membina, mengendalikan serta pindah dengan kadar RM15.4 juta setahun," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, Sulaiman mempunyai kepentingan sebanyak 51 peratus sementara 6 peratus lagi dimiliki oleh isterinya.

Jelas Rafizi, syarikat pembinaan Bina Puri pula memegang baki 43 peratus syer dan dibayar RM96.1 juta untuk membina asrama tersebut menurut laporan tahunan yang dikeluarkan pada 2006.

Beliau mendakwa RRSB memperoleh keuntungan sebanyak 524 peratus berjumlah RM508 juta walaupun kos awal hanya melibatkan RM96 juta.

Bukan itu sahaja, Rafizi mendakwa menurut laporan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kadar sewa yang dikenakan sudah mampu menjelaskan kos operasi asrama berkenaan.

Tiada ulasan: