Ia bertentangan dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang menyatakan siasatan polis telus akan dijalankan.
PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) mahu kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat kes serangan anggota polis ke atas petugas media yang membuat liputan ketika perhimpunan Bersih 3.0 di sekitar Dataran Merdeka Sabtu lalu.
Perhimpunan ‘duduk dan bantah’ itu menyaksikan sebilangan petugas media dipukul dan sebilangan kamera dirampas dan dirosakkan oleh pihak polis.
Menurut Pusat Kewartawanan Bebas, wartawan Radzi Razak dari akhbar The Sun, Arif Kartono dari Malay Mail, P Malayandy dari Makkal Osai, Huang An Jian (Guang Ming Daily) Kenny Lew (Channel News Asia) dan Chen Shaua Fui (Merdeka Review) dicederakan oleh polis.
Wartawan The Malaysian Insider Lisa J Ariffin pula cedera setelah terkena kanister gas pemedih mata.
Jurukamera pula mengadu bahawa kamera mereka dirampas.
“Kami mengesyorkan bahawa jawatankuasa bebas tersebut harus diketuai oleh sekurang-kurang tiga ahli iaitu seorang hakim yang bersara, bekas Presiden Majlis Peguam dan ahli akademik yang pakar dalam kewartawan dan undang-undang kewartawanan,” kata
Presiden NUJ, Chin Sung Chew dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan ini bercanggah dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam yang memberi jaminan perkara ini akan disiasat oleh polis secara telus.
Chin turut mewajarkan saranan pembentukan jawatankuasa bebas.
Keganasan polis
“NUJ berpendirian bahawa jawatankuasa bebas harus mengambil alih siasatan kerana polis yang dituduh melakukan keganasan terhadap anggota media.
“Wartawan, termasuk dari media asing, dipukul semasa bertugas dan ini merupakan satu tuduhan yang serius.
“Ianya jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi serta bertentangan dengan hak wartawan untuk melakukan tugas dalam suasana dan persekitaraan aman,” jelas Chin.
NUJ juga berharap berharap cadangan ini akan mendapat sokongan dari semua golongan yang mahukan satu siasatan dan keputusan yang telus dan dipercayai.
“Kami berharap agar hasil daripada laporan siasatan ini dapat dijadikan satu panduan kepada sebarang insiden yang tidak diingini pada masa akan datang,” kata Chin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan