Harakahdaily, |
KUALA LUMPUR: Akhbar The New Strait Times (NST) sedang menyiasat laporan wartawannya ekoran bantahan anggota Parlimen Australia, Senator Nicholas Xenophon.
Ketika dihubungi The Malaysia Insider, Ketua Pengarang NST, Abdul Jalil Hamid berkata, "Kami sedang melihat fakta mengenainya."
Hari ini, Nick Xenophon (gambar) dalam kenyataannya berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar Malaysia yang memaparkan beliau seolah-olah anti-Islam.
Dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh News.com.au, beliau melahirkan rasa terkejut dengan serangan itu.
Nick Xenophon bersama-sama dengan pemerhati antarabangsa berada di Malaysia baru-baru ini termasuk semasa hari perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lepas.
Beliau, dalam misi menjadi pemerhati politik, telah membuat kenyataan menyesali apa yang berlaku dalam perhimpunan itu.
Ekoran itu, media tradisional milik Umno dan BN menyerang peribadi beliau termasuk melebelkan beliau sebagai anti Islam dan pejuang hak lesbian, gay, bisexual dan transgender (lgbt).
NST misalnya melaporkan Nick Xenophon anti Islam semasa berucap dalam Parlimen Australia padahal katanya dalam ucapan itu beliau menggunakan perkataan 'Scientology' dan bukannya Islam.
"Laporan itu palsu sepenuhnya," kata beliau dan akan meminta nasihat undang-undang mengenainya.
"Ia satu fitnah dan saya akan ambil tindakan," katanya.
"Saya terkejut ada yang pergi hingga sebegitu rendah," kata Xenophon sebagaimana dilaporkan oleh media Autralia itu.
Ekoran itu, NST telah membuang laporan berkenaan dari laman webnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan