Selasa, 22 Mei 2012
Naib Presiden UMNO Taja Pembangkang?
TELAH heboh khabar ini sampai ke cuping Perdana Menteri bahawa salah seorang Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Kabinet Malaysia telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk menaja pemimpin Parti Pembangkang sejak 2008 sehingga kini.
Menurut sumber terdekat dengan Perdana Menteri, Naib Presiden UMNO itu meminta rakan karibnya menaja pemimpin kanan parti pembangkang dengan janji akan membayar balik semua kos yang telah dikeluarkan melalui projek atau dengan kata lain 'Project-Swap'.
Namun kini sudah hampir empat tahun berlalu, hanya RM100,000 sahaja yang telah dibayar kembali melalui adik Naib Presiden berkenaan kepada rakan karibnya, manakala selebihnya masih tertunggak dengan janji yang diperbaharui setiap masa, termasuk meminta rakan karibnya sejak 25 tahun lalu menyertai tender tertutup di kementeriannya.
Tetapi rakan karibnya masih gagal mendapatkan semula wang yang dilaburkan melalui tender tertutup yang dianjurkan sehingga membuatkan beliau kecewa seolah-olah menjadi peminta sedekah kepada Naib Presiden UMNO tersebut.
Rakan karib Naib Presiden UMNO itu sedang mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri untuk mengadu 'sikap tikam belakang' Menteri Kabinet berkenaan kerana beliau menghadapi masalah perniagaan disebabkan modal dan keuntungannya digunakan untuk membiayai aktiviti parti pembangkang berkenaan atas arahan Naib Presiden UMNO tersebut.
Amat malang bagi rakan karib Naib Presiden UMNO itu kerana terpaksa menggadai rumahnya kepada Ah Long dan menjual lima keretanya demi untuk meneruskan kehidupan akibat tindakan Naib Presiden UMNO mungkir janji dan berdalih untuk membayar hutangnya.
Paparazzi telah menyelidik siapakah Naib Presiden UMNO yang sanggup menderhaka kepada parti demi menyimpan 'Fixed Deposit' untuk kepentingan politiknya; tetapi tidak dapat mendedahkan di Sabahkini.net buat sementara waktu sehinggalah rakan karib Naib Presiden UMNO berkenaan berjaya menemui Perdana Menteri.
Untuk makluman, hanya ada tiga Naib Presiden UMNO iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Siapakah di antara mereka yang bakal disingkirkan Perdana Menteri kerana 'pengkhianatan' ini?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan