Khamis, 24 Mei 2012

MB Selangor pelawa BN lawat empangan

AHMAD NORMAN ABU TALIB

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
 
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menjemput pembangkang negeri itu termasuk Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui serta media melawat empangan bagi membuktikan kadar rizab air berada di tahap selesa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan tersebut dicapai selepas beberapa kenyataan salah dibuat mengenai kadar rizab air seolah-olah menunjukkan berlaku krisis air di negeri ini.

Katanya, segala urusan lawatan akan diselia Pengawal Selia Air negeri, Datuk Nordin Sulaiman dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Abdul Khalid menegaskan, Kerajaan Negeri sentiasa memantau isu perkembangan rizab air di mana Luas akan memberi laporan bertulis dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan laporan terbaru dikeluarkan oleh Luas semalam (kelmarin) menunjukkan simpanan air mentah di negeri ini dalam keadaan baik dan memuaskan apabila tahap simpanan air di tujuh empangan pada bulan Mei lalu adalah melebihi 100 peratus simpanan.

“Jumlah takungan sumber air empangan di negeri ini adalah sebanyak 522.655 juta meter padu. Sejak Februari semua tujuh empangan tersebut iaitu empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi," katanya.

Empangan Klang Gate, Empangan Sungai Langat, Empangan Sungai  Semenyih, Empangan Tasik Subang dan Empangan Batu mencapai 100 peratus simpanan air dan mampu membekalkan sumber air kepada semua loji pembersihan air di Selangor, kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

Menurutnya, beliau membidas tindakan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang dilihat bermain politik dalam isu projek Loji Rawatan Air Langat 2 kerana mendakwa projek tersebut memberi kepentingan kepada syarikat kroni yang mahu mengaut keuntungan di atas kesusahan rakyat menanggung kos air.

Katanya, kenyataan pemimpin pembangkang di negeri ini juga bertujuan memperkecilkan kredibiliti pegawai Luas iaitu sebuah agensi kerajaan profesional dalam pengurusan bekalan air mentah
di Selangor.

Abdul Khalid berkata, rekod pemantauan tahunan Luas mendapati semua empangan mampu membekalkan sumber air dan belum pernah mencecah tahap kritikal ditetapkan dalam lengkuk operasi empangan.

“Ini jelas menunjukkan kenyataan bahawa kadar rizab air di Selangor hanya 2.4 peratus sahaja berbanding kadar sepatutnya iaitu 20 peratus adalah salah dan bercanggah dengan data diberikan oleh Luas,” katanya.

Kelmarin, Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed mendakwa isu air melibatkan kepentingan awam dan mengancam masa depan Selangor jika tidak ditangani kerana kadar rizab air hanya tinggal 2.4 peratus sahaja berbanding kadar sepatutnya iaitu 2o peratus.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri berulang kali menegaskan bahawa mereka tidak menentang pembinaan LRA 2 tetapi mahu ianya dimasukkan dalam pakej penyelesaian penyusunan semula industri perkhidmatan air mengikut Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan bertindak merampas bangunan dan hartanah sekiranya premis tersebut disalahgunakan untuk kegiatan tidak bermoral seperti rumah urut.

“Perkara ini masih dibincangkan dan tindakan akan dilaksanakan.

“Salah satu perkara yang kita tegaskan kalau mereka langgar undang-undang maka bukan sahaja perniagaan itu mendapat kesan disita tetapi bangunan atau pun hartanah akan dikenakan tindakan rampasan,” katanya.

Tiada ulasan: