Sabtu, 19 Mei 2012

MB: Rakyat Selangor makin bijak

AHMAD NORMAN ABU TALIB

MB: Rakyat Selangor makin bijak
 
Abdul Khalid ketika berucap pada program Penerangan Geran Selangorku, semalam.
 
 
PUCHONG – Kerajaan Negeri menyifatkan program mesra rakyat yang dianjurkan jelas memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana dapat mendengar segala permasalahan timbul dan dapat mengambil langkah penyelesaian terbaik untuk rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia sangat berguna kepada pihaknya kerana dapat mengetahui apa sebenarnya berlaku di peringkat masyarakat bawahan.

Menurutnya, setelah mengetahui permasalahan dialami rakyat maka dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) diadakan setiap minggu, perkara tersebut dapat dibincangkan dan keputusan dapat diambil.

“Program mesra rakyat ini sangat berguna kepada kita kerana dapat mengetahui apa perkara yang berlaku di peringkat akar umbi.

“Malah dalam mesyuarat kita boleh buat keputusan berkesan demi kebaikan dan kepentingan untuk rakyat,” katanya dalam ucapan di program Penerangan Geran Selangorku di padang bersebelahan Dewan Taman Putra Perdana di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail; Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari.

Abdul Khalid berkata, beliau mendapati rakyat kini semakin bijak kerana mereka mahukan Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah dihadapi secara menyeluruh.

“Sebagai contoh, jika berlaku banjir di sesuatu kawasan itu, rakyat kini tidak mahu lagi diberi bantuan beras sebagainya kerana benda itu akan tetap habis tetapi masalah sama berulang,” katanya.
Menurutnya, semalam beliau dan beberapa Exco berpeluang bertemu rakyat secara bersemuka di program Dialog Bersama Rakyat di Dewan Orang Ramai Pekan Sepang, di Sepang.

“Di situ ada tempat untuk duduk dan bersemuka dengan orang ramai dan mereka berpeluang untuk bertemu dengan Menteri Besar yang mana secara jelasnya rakyat susah nak dapat berjumpa Menteri Besar.

“Saya dengar 17 permintaan dan pertanyaan daripada mereka kerana mereka ingin mendengar sendiri jawapan daripada Menteri Besar dan lebih mesra dengan adanya majlis seperti ini,” katanya.

Tiada ulasan: