Ahad, 20 Mei 2012

Lelaki maut dalam kebakaran

THE MALAYSIAN INSIDER

ALOR SETAR— Seorang lelaki telah ditemui mati di bawah katil di dalam sebuah bilik di rumahnya dalam kebakaran di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, Eng Heo, 53, mati di tempat kejadian kerana terbakar 50 peratus di bahagian kepala dan badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar Mohd Fauzi Abdullah berkata pihaknya telah menerima panggilan pada pukul 7.05 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera dan 12 anggota.
Katanya anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan menemui mayat lelaki itu di dalam sebuah bilik.

Jiran mangsa, Ooi Poh Sin, 54, berkata ketika kejadian, dia berada di dalam rumahnya dan terdengar bunyi letupan kuat dan apabila keluar, dia mendapati rumah mangsa sedang terbakar.

Panik dengan kejadian itu, Ooi berkata dia bersama anaknya lari menyelamatkan diri kerana bimbang kebakaran merebak ke rumahnya yang tidak jauh dari rumah mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan ketika ditemui mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat Eng dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini sebelum dituntut keluarganya. — Bernama

Tiada ulasan: