Inilah rasanya yang berlaku ketika seorang "penegak keadilan" Muslim yang bernama Irshad Manji mengembara ke seluruh dunia untuk menyibarkan "dakwah"nya bagi menegakkan "keadilan" Islam dan misinya bagi "memperjuang"kan hak asasi manusia, menurut tafsirannya.
Pengembaraannya kini telah sampai ke negara kita, yang juga tentunya membawa misi yang sama iaitu untuk menegakkan keadilan di Malaysia, yang pada pandangannya sendiri mungkin Islam di sini telah disalahgunakan begitu rupa sehingga memerlukannya untuk datang bagi membetulkan keadaan di sini.
Beliau menyebut dalam laman sosialnya tentang pengenalan dirinya bahawa dia adalah "seorang Muslim yang beriman" "saya sering bercakap menentang keganasan dan pencerobohan hak asasi manusia atas nama Tuhan" (I am a faithful Muslim" "I speak out against violance and human rights abuses in the name of God").
Kenyatan ini amat sedap dan selesa didengar kerana itulah yang kita kehendaki dari seorang Muslim iaitu keimanan dan perjuangan menentang kezaliman atas nama agama dan atas nama Tuhan. Malah sebenarnya inilah sebahagian dari pengajaran Islam iaitu menentang sebarang pencerobohan ke atas hak asasi manusia dan menentang sebarang keganasan.
Tetapi seperti yang telah saya sebutkan di atas, slogan dan retorik tidak menjustifikasikan apa-apa, sekiranya slogan itu di isi dengan tafsiran dan takrifan serta strategi perjuangan yang tidak sebenarnya berasaskan kepada prinsip dan dasar utama Islam itu sendiri.
Adakah memperjuangkan sesuatu yang dinamakan "hak asasi manusia" pada pandangan sekular, umpamanya menentang kebebasan seks, merupakan satu perjuangan menegakkan keadilan atau memperjuangkan hak kebebasan yang termasuk dalam hak asasi manusia seperti yang sering diperjuangkan oleh golongan ini, yang mendakwa diri mereka sebagai "pejuang keadilan dan hak asasi manusia?"
Sedangkan menentang kebebasan seks adalah merupakan satu usaha yang berasaskan ajaran Islam, walaupun hal ini dianggap oleh para pejuang hak asasi manusia sebagai satu kebebasan yang seharusnya diberikan kepada semua orang.
Ertinya perjuangan untuk menegakkan kebebasan manusia untuk melakukan perhubungan seks sejenis atau perhubungan seks tanpa kahwin adalah melanggar dasar dan prinsip Islam, maka orang Islam yang menentang kelakuan ini tidaklah seharusnya dianggap sebagai manusia yang mencerobohi hak asasi manusia secara mutlak.
Oleh itu amatlah tidak releven sama sekali sekiranya terdapat orang Islam yang beriman kepada Allah dan memahami ajaran Islam yang sebenarnya akan mendakwa bahawa ia adalah seorang pejuang hak asasi manusia ketika ia memperjuangkan supaya diberikan kebebasan untuk amalan seks sumbang, tanpa kawin, seks sejenis dan sebagainya, berdasarkan hukum sekular, tanpa agama tentang isu ini.
Islam mempunyai prinsip dan panduan umum yang seharusnya dilihat dan dipelajari secara menyeluruh untuk menegakkan keadilan dan hak asasi manusia, bukan hanya memadai dengan slogan dan simbol, tetapi pelaksanaannya amat menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya.
Maka dari sudut inilah nampaknya ramai umat Islam sendiri yang terpengaruh dengan slogan dan retorika yang sering ditonjolkan oleh orang Islam sendiri tentang perjuangan mereka masing2 yang kononnya untuk menegakkan keadilan Islam dan meletakkan Islam di tempatnya yang betul sedangkan secara keseluruhannya mereka ini lebih cenderong kepada perjuangan simbolik dan syi'ar sahaja, tanpa melihat kepada prinsip dan ajaran Islam secara menyeluruh.
Simbol dan retorika tidak memberi pengertian apa-apa, sekiranya kita mendasarkan simbol dan perjuangan ini di atas dasar sekular yang sebenarnya, iaitu yang tidak mengakui asas-asas penting dalam akidah, syariah dan akhlak Islamiah yang tulin dan sejati.
Masalah dalam negara-negara Islam dan masyarakat Islam sedunia umumnya pada hari ini ialah masalah kecetakan ilmu pengetahuan Islam yang sebenarnya, dan masalah kefahaman Islam itu sendiri sebagai satu cara hidup yang lengkap dan syumul, mereka sering mengambil Islam berdasarkan prinsip serpihan dan pentafsiran yang tidak berasaskan fundamental ajaran Islam.
Malah dunia Islam mengalami krisis pemikiran umat Islam sendiri, dan masalah intelektual kerana umat Islam tidak banyak yang menjalankan kajian dan penyelidikan tentang Islam yang sebenarnya, terutamanya dalam konteks dunia moden dan sejarah pemikiran Islam sendiri, serta sejarah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabatnya ketika Islam menegakkan tamadun di atas muka bumi ini.
Dengan itu umat Islam pada masa kini lebih banyak meraba-raba dalam perjuangannya, tidak ada fakta dan data dalam menyusun strategi keilmuannya, perjuangannya, hujah dan debatnya, malah lebih banyak mendengar sahaja, tanpa memahami, maka sesiapa yang pandai menegakkan hujahnya.
Walaupun tanpa berdasarkan syariah dan akhlak Islam yang sebenarnya, maka kata-kata itulah yang didengar dan dipegangnya, lalu terjadilah masyarakat Islam yang lebih banyak mempelajari Islam di pentas-pentas propaganda, u-tiub, dan laman sosialnya tanpa dapat berfikir apakah sesuatu yang didengarnya itu sememangnya merupakan ajaran Islam tulen dan berdasarkan al-Quran dan Al-Sunnah, atau hanya merupakan pandngan peribadi yang mempunyai motif yang tertentu.
Oleh itu saya fikir kita di dalam masyarakat Malaysia yang agak peka dengan Islam, dan mempunyai saluran rasmi yang banyak dalam mempelajari Islam yang sebenarnya, haruslah mengelakkan kehadiran sesiapa saja yang akan lebih banyak mencipta kekeliruan dalam pemikiran kita tentang Islam, seperti yang disuarakan oleh Persatuan Peguam Muslim tentang Irshad Manji ini.
* Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan